Program ETA di sekolah menengah akan diteruskan

KETUA Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof. – Foto Fariz Iswadi Ismail

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan bercadang meneruskan program guru ‘English Teaching Assistant’ (ETA) pada masa akan datang. Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof, berkata pihaknya menyokong penuh program itu yang dapat membantu pelajar di sekolah menengah terutama di luar bandar berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Katanya, namun begitu, keputusan itu bergantung kepada kerajaan sama ada untuk meneruskan atau sebaliknya. “Program yang bermula sejak tahun 2011 ini akan diteruskan sehingga tahun depan menerusi memorandum persefahaman (MoU) selama lima tahun dengan Suruhanjaya Pertukaran Pendidikan Amerika Syarikat (MACEE). “Jadi, kita berharap program penempatan guru ETA selama 10 bulan di 100 buah sekolah merangkumi lapan negeri dapat diteruskan dalam usaha memberi impak positif kepada pertuturan bahasa antarabangsa itu dalam kalangan pelajar dengan sokongan pelbagai pihak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pameran Malaysia Fulbright ETA di Perpustakaan Negara, di sini, hari ini. Majlis itu turut sama meraikan seramai 100 guru ETA dari Amerika Syarikat yang baru sahaja menamatkan program itu yang bermula awal tahun ini. Antara negeri terbabit adalah Perlis, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Sabah, Sarawak dan Pahang.

Sumber: Berita Harian