Universiti perlu kerap turun padang perjelas hasil penyelidikan

MENTERI Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh (kiri) mendengar penerangan mengenai pokok padi hasil teknologi Universiti Putra Malaysia (UPM) yang lebih baik dari Ketua Projek Penyelidikan UPM, Pofessor Dr Mohd Razi Ismail (kanan) selepas merasmikan Program Teknologi Padi UPM di Kampung Lubuk Kawah, Jerteh. – Foto BERNAMA

JERTIH: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meminta pihak universiti kerap turun padang untuk memberi penjelasan mengenai hasil penyelidikan mereka yang boleh memanfaatkan rakyat terutama dalam sektor industri. Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata bidang penyelidikan berjalan berterusan seiring peredaran masa dengan menggunakan pelbagai inovasi teknologi baru untuk mendapatkan hasil lebih baik. Beliau berkata, bidang penyelidikan dan inovasi daripada universiti perlu ditingkatkan apatah lagi kerajaan menerusi Bajet 2017 memperuntukkan RM100 juta khusus untuk bidang penyelidikan. Sebagai contoh katanya, kerja keras dilakukan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) membantu petani meningkatkan hasil padi mereka dan dalam masa sama mengurangkan kos serta mengawal serangan serangga perosak seperti siput gondang. “Melalui teknologi ini kita sasarkan hasil pengeluaran padi di Kawasan Pertanian Bersepadu Terengganu Utara (KETARA) mampu mencapai sasaran 10 tan metrik sehektar sebelum 2025,” katanya selepas majlis perasmian Teknologi UPM@BESUT 2016, di Lubuk Kawah, di sini, hari ini. Idris berkata, teknologi diperkenalkan UPM bukan hanya mampu meningkatkan hasil padi melalui penggunaan benih yang baik, tetapi juga boleh menangani masalah padi rosak ditenggelami air. “Kaedah penggunaan teknologi ‘drone’ umpamanya amat membantu petani untuk melihat kawasan padi dalam skala lebih besar bagi mengenalpasti kawasan mana memerlukan baja dan kawasan mana diserang serangga perosak,” katanya. Beliau berkata, selain peruntukan kerajaan, pihak universiti juga boleh berusaha menjana pendapatan sendiri dengan ke luar negara seperti United Kingdom (UK) dan Jepun untuk berjumpa wakil syarikat yang menawarkan geran bersesuaian dengan bidang penyelidikan mereka. “Melalui kaedah ini separuh kos penyelidikan dibiayai kerajaan dan separuh lagi syarikat swasta. Justeru tidak timbul soal universiti tidak mampu melaksanakan penyelidikan kerana tiada geran,” katanya.

Sumber: Berita Harian