Peruntukan besar sekolah agama terjemah komitmen kerajaan

YANG di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika hadir Majlis Penutup Program Khas Asasi Ulul Albab, Graduasi Aqso dan Majlis Graduasi SPM di Sekolah Menengah Imtiaz, Masjid Tanah, Alor Gajah, hari ini. – Foto Rasul Azli Samad

ALOR GAJAH: Peruntukan besar untuk sekolah agama, tahfiz dan pondok dalam Bajet 2017 adalah terjemahan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan menjaga agama Islam di negara ini, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Timbalan Perdana Menteri berkata, Islam sebagai agama yang progresif perlu dijaga, disuburkan dan dimajukan seterusnya dijadikan suatu cara hidup lengkap untuk masyarakat di negara ini, namun dalam masa yang sama tidak mengetepikan agama lain. “Kita cari jalan maju ke hadapan dalam majukan Islam tetapi agama lain perlu kita hormati, dalam usaha supaya agama kita dihormati kita perlu menghormati agama yang lain. “Tetapi dalam masa sama, saya risau jika umat Islam tidak bersatu bagai buih di lautan, (Islam) akan hilang akibat ombak melanda, perbezaan pendapat dibolehkan tetapi ada tertibnya, hormat pendapat orang lain, amalkan lemah lembut dan bijaksana walau berbeza pendapat,” katanya di sini hari ini. Beliau berkata demikian pada Majlis Graduasi Hafaz Aqso, Tingkatan 5 dan Program Khas Asasi Ulul Albab 2016 Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab di Masjid Tanah di sini. Majlis itu disempurnakan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob yang menyaksikan kumpulan pertama sekolah itu seramai 62 pelajar menerima sijil graduasi mereka. Dalam Bajet 2017 yang dibentang Najib 21 Oktober lalu, sejumlah RM30 juta diperuntukkan kepada sekolah tahfiz bagi melahirkan lebih ramai generasi Islam hebat, manakala sekolah agama bantuan kerajaan dan sekolah pondok berdaftar masing-masing diberi RM50 juta bagi penambahbaikkan dan penyelenggaraan sekolah. Ahmad Zahid berkata umat Islam perlu mengambil iktibar terhadap perpecahan yang terjadi di negara seperti Syria dan Yaman serta kejadian ‘Arab Spring’ bagi memastikan perpecahan itu tidak terjadi terutama di rantau nusantara ini. Beliau berkata daripada 1.8 bilion umat Islam di seluruh dunia, 350 juta berada di rantau nusantara, justeru rantau ini adalah tempat paling sesuai menjadi tempat kebangkitan semula Islam. “Saya teringat hadis menyebut kebangkitan semula Islam tidak akan bermula di tanah Arab, disebutkan (dalam hadis) akan bangkit di timur jauh, dalam konteks ini nusantara mampu menjadi tempat itu. “Justeru bumi Malaysia Insya-Allah jadi tapak kebangkitan semula Islam. Malaysia menjadi antara negara Islam termaju yang menjadi rujukan kerana mampu membangun Islam secara progresif dan kesederhanaan di bawah masyarakat majmuk berbilang latar belakang,” katanya. Ahmad Zahid berkata pendidikan di negara ini perlu ada kombinasi antara pendidikan dunia dan akhirat kerana dengan itu, ia akan melahirkan insan yang luhur seterusnya mampu memperkukuh syiar Islam. “Harus ada perimbangan dengan tuntutan duniawi dan akhirat agar nasib masa depan generasi akan datang tidak dilupakan dan dalam keadaan yang cemerlang,” katanya. Katanya sekolah agama seharusnya menggabungkan penghafalan dengan subjek-subjek akademik lain supaya mereka yang dilahirkan melalui sistem kombinasi itu dapat membina imej yang baharu untuk Islam. “Supaya di mata dunia kita ada darjah yang tinggi, Aras Satu, dengan mengetahui perimbangannya dan menjadi manusia yang sempurna,” katanya. – BERNAMA

Sumber: Berita Harian