16 IPG mampu tampung guru pelatih baharu

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan yakin 16 Institut Pendidikan Guru (IPG) di seluruh negara berupaya menampung keperluan pengambilan baharu guru pelatih baharu, dengan unjuran pengambilan 1,600 orang bermula tahun depan. Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Kementerian Pendidikan berkata, pengambilan guru pelatih bagi Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP) akan diselaraskan dengan jumlah kekosongan. Katanya, ia susulan persaraan dan permintaan guru baharu bagi mengelak lambakan guru di pasaran.

Kenyataan itu bertujuan menjawab kekeliruan segelintir pihak yang mendakwa IPG di beberapa negeri ditutup selepas pengumuman Bajet 2017 baru-baru ini, berikutan sembilan IPG akan ditukar kepada Kolej Vokasional atau Politeknik serta dua kepada Pusat Permata. Katanya, IPG yang akan ditukar kepada Kolej Vokasional atau Politeknik belum dimuktamadkan dan perbincangan sedang dijalankan mengenai keperluan mengikut lokasi. “IPG yang akan menjadi Pusat Permata adalah Kampus Raja Melewar, Negeri Sembilan dan Kampus Tuanku Bainun, Pulau Pinang seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada pembentangan Bajet 2017. “Mulai tahun depan, tiada pengambilan guru pelatih baharu di IPG yang ditukar kepada Kolej Vokasional, Politeknik atau Pusat Permata tetapi pelatih sedia ada di IPG berkenaan kekal hingga tamat pengajian. “Bagi pensyarah di IPG yang terbabit, penyuraian akan dibuat secara berfasa mengikut penamatan pengambilan pelatih. “Pensyarah boleh memilih untuk kekal di IPG berkenaan atau berpindah ke institusi pendidikan lain tanpa menjejaskan opsyen dan gred jawatan masing-masing,” katanya. Selaras Transformasi Penstrukturan Kementerian Pendidikan, kata kenyataan itu, pensyarah berkenaan sesuai ditempatkan di Pejabat Pendidikan Daerah sama atau berdekatan.

Sumber: Berita Harian