USIM cemerlang dalam pertandingan inovasi di London

Pelajar Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Muhammad Akmal Sallahuddin (kiri) dan Balqis Muhammad Kasim (kanan) bersama pingat dan anugerah yang dimenangi sempena pertandingan inovasi British Invention Show (BIS) di London, baru-baru ini. – Foto ihsan USIM

BANDAR BARU NILAI: Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berjaya memperoleh dua pingat emas, dua perak serta Anugerah Khas Platinum sempena pertandingan inovasi British Invention Show (BIS), baru-baru ini. BIS yang memberi peluang peserta mengenengahkan pelbagai ciptaan dan hasil inovasi, diadakan selama empat hari bermula 19 Oktober lalu, di Barbican Exhibition Centre, London. Naib Canselor USIM, Prof Datuk Dr Musa Ahmad, berkata USIM memenangi pingat emas dan perak serta anugerah khas, menerusi dua rekaan iaitu Jugular Venous Pressure (JVP Ruler) dan Mobile Intravenous Drip (MIV). Katanya, dua produk itu berjaya memperoleh masing-masing satu pingat emas dan perak, manakala MIV turut menerima Anugerah Khas Platinum bagi kategori pengguna. “Anugerah Khas Platinum yang diterima ini adalah satu permulaan yang baik untuk kumpulan inovasi lain berusaha mendapatkan anugerah tertinggi pada masa akan datang,” katanya. Sementara itu, pelajar Tahun Tiga, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Muhammad Akmal Sallahuddin, berkata kejayaan MIV adalah hasil usaha keras seluruh pasukan, pensyarah dan penyelia mereka, Prof Madya Ahmad Najib Azmi. Katanya, produk rekaan mereka bertujuan membantu pesakit bergerak dengan mudah ketika menjalani rawatan di hospital selain menjamin kebersihan. Pelajar Tahun Lima, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Balqis Muhammad Kasim, berkata JVP Ruler pula direka bertujuan mengira tekanan salur darah di leher manusia, bagi mendapatkan keputusan yang tepat dan konsisten. Katanya, JVP juga dapat mengenal pasti jika pesakit mempunyai masalah jantung.

Sumber: Berita Harian