Pengambilan pelajar ILJTM diteruskan – Richard

MENTERI Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem. – Foto Hafiz Sohaimi

KUALA LUMPUR: Pengambilan pelajar baharu Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) untuk sesi Januari dan Julai 2017 akan diteruskan meskipun berdepan kekangan kewangan. Sehubungan itu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem, menjelaskan tiada pembekuan pengambilan pelajar seperti diuar-uarkan sebelum ini. Beliau berkata, kementeriannya ketika ini sedang mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab mengeluarkan pekeliling pembekuan pengambilan pelajar itu sebelum mengeluarkan kenyataan media selewat-lewatnya hari ini. “Tidak betul (arahan pembekuan pengambilan pelajar). Saya beri jaminan kementerian tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan sedemikian, malah kita tiada niat untuk menutup pintu masuk ke ILJTM. “Kita akan siasat perkara ini dan mengeluarkan kenyataan media untuk meredakan kebimbangan orang ramai, khususnya pelajar yang sudah membuat keputusan melanjutkan pelajaran ke ILJTM,” katanya ketika dihubungi BH, sebentar tadi. Semalam, keputusan penangguhan sesi pengambilan pelajar baharu ILJTM bagi sesi Januari dan Julai 2017 itu disebut dalam memorandum bertarikh 24 Oktober 2016, yang ditandatangani Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia, Datuk Chin Phaik Yoong. Memorandum itu difahamkan adalah untuk perhatian semua Pengarah dan Pengarah Bahagian ILJTM di seluruh negara. Dokumen yang tersebar luas di laman sosial itu antara lain menggariskan pengambilan pelajar baharu di Institut Latihan Perindustrian (ILP), Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) dan Institut Teknikal Jepun Malaysia (JMTI) ditangguh sehingga arahan selanjutnya diumumkan.

Sumber: Berita Harian