Pemansuhan UPSR kini dalam kajian peringkat akhir

MURID menduduki peperiksaan UPSR di SJK (C) Wen Hua, Batu Berendam, Melaka. – Foto fail NSTP/ Khairunisah Lokman

PADANG TERAP: Kajian Kementerian Pendidikan berhubung pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi digantikan dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) kini berada di peringkat akhir. Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, pihaknya dalam perancangan merangka sesi perjumpaan dengan pihak berkepentingan termasuk sekolah, ibu-bapa, guru dan kesatuan bagi mendapatkan pandangan sebelum pemansuhan itu dilaksanakan kelak. “Sekarang ini kementerian di peringkat kajian akhir sebelum sampai masa yang sesuai (untuk mansuhkan UPSR). “Namun kita kena berjumpa dulu semua orang…apabila mereka kata ok baharulah kerajaan putuskan…kalau ikut pendapat saya secara peribadi kalau boleh tahun depan nak laksanakan PBS,” katanya pada sidang media, di sini tadi. Terdahulu Mahdzir menyerahkan Masjid Baharu Kariah Pulau Kijang, di sini, yang dibina membabitkan kos sebanyak RM3.2 juta oleh Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) kepada kariah di situ. Pada masa sama, Mahdzir berkata, cadangan pemansuhan UPSR ini dibuat kerana tidak mahu tahap pencapaian murid di sekolah hanya diukur 100 peratus berpaksikan peperiksaan sahaja tanpa mengambil kira faktor lain. “Melalui PBS yang dijangka menggantikan UPSR kelak, hanya 50 peratus keputusan peperiksaan murid tahun enam diambil kira daripada keseluruhan pencapaian mereka dengan markah selebihnya diperoleh daripada tingkah laku dan kokurikulum,” katanya.

Sumber: Berita Harian