UPM hasilkan kereta lumba guna barangan terpakai

MOHD. NIZAR MOHD. NAIM (dua dari kanan) memberi penerangan mengenai

MOHD. NIZAR MOHD. NAIM (dua dari kanan) memberi penerangan mengenai kereta lumba menggunakan barangan terpakai kepada pengunjung Pameran Penyelidikan dan Inovasi sempena Ekspo Pertanian dan Pesta Konvokesyen UPM 2016 di Serdang, Selangor, semalam.

KUALA LUMPUR 25 Okt. – Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) menunjukkan kreativiti apabila berjaya menghasilkan sebuah kereta lumba dengan menggunakan 90 peratus barangan terpakai.

Pelajar Kejuruteraan Mekanikal UPM, Mohd. Nizar Mohd. Naim berkata, usaha mencipta kereta yang dinamakan Jebat itu adalah untuk menaikkan sukan permotoran dalam kalangan pelajar universiti.

“UPM pernah terlibat dalam pertandingan kereta lumba beberapa tahun yang lalu tetapi sudah lama tidak aktif jadi penciptaan kereta lumba ini adalah untuk menaikkan semula sukan permotoran.

“Dalam masa sama, kami juga berharap penciptaan ini dapat meningkatkan minat serta penge­tahuan pelajar dalam bidang teknologi malah menarik perhatian syarikat luar negara untuk membelinya,” katanya dalam Pameran Penyelidikan dan Inovasi sempena Ekspo Pertanian dan Pesta Konvokesyen UPM 2016 di Serdang, dekat sini hari ini.

Inisiatif daripada 26 pelajar yang dikenali sebagai Putra Mo­torsport Team sejak tahun lalu itu menggunakan barangan terpakai untuk membina sebuah kereta lumba seperti badan kenderaan, papan pemuka, stereng, kerusi pemandu dan enjin de­ngan hanya tayar dan ekzos ditaja kedai-kedai motosikal tempatan.

Kereta lumba Jebat itu kemudiannya akan diuji dalam pertandingan kereta lumba pe­ringkat antarabangsa yang disertai 93 kereta lain mewakili universiti dari seluruh dunia.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati masih ramai yang tidak mahu melepaskan peluang untuk membeli pokok-pokok bunga, baja tanaman dan buah-buahan selain menyaksikan pameran penyelidikan yang dipamerkan 25 buah fakulti walaupun ekspo tersebut akan me­labuhkan tirai esok.

– Sumber : Utusan online