Budayakan membaca dalam masyarakat

HAKIKATNYA, rakyat membaca adalah rakyat berilmu dan buku yang

HAKIKATNYA, rakyat membaca adalah rakyat berilmu dan buku yang menjadi bahan bacaan utama sememangnya mempunyai khazanah ilmu tidak ternilai. UTUSAN/FAISOL MUSTAFA

BAGI menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam usaha menjadikan rakyat Malaysia sebagai rakyat membaca semua pihak perlu berganding bahu untuk menjayakannya khususnya dalam kalangan warga universiti.

Justeru, langkah yang diambil oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mewujudkan perpustakaan mini di sekitar kampus diikuti beberapa lokasi lain seperti Nilai Impian, Negeri Sembilan dan Kampung Pulau Rusa, Terengganu wajar disokong selain menjadi bukti terhadap komitmen warga universiti tersebut menyuburkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Hakikatnya, rakyat membaca adalah rakyat berilmu dan buku yang menjadi bahan bacaan utama sememangnya mempunyai khazanah ilmu tidak ternilai.

Cuba kita lihat kebanyakan rakyat di negara maju, mereka menjadikan membaca sebagai amalan hidup seharian. Lihat sahaja masyarakat Jepun, bagaimana sebahagian besar mereka gemar membaca. Perlu kita akui asas negara maju dibangunkan oleh rakyat yang berilmu.

Tambahan pula untuk mendapatkan satu-satu fakta yang tepat rujukan perlu dilakukan terhadap buku yang berwibawa dan bukannya semata-mata internet.

Sememangnya fakta yang diperoleh melalui internet perlu disemak beberapa kali bagi memastikan ketepatannya kerana kita bimbang maklumat tersebut dipetik daripada sumber yang tidak sahih.

Dalam pada itu saya mengharapkan lebih banyak universiti awam dapat mencontohi inisiatif yang diambil USIM yang mewujudkan perpustakaan mini di sekitar kawasan tumpuan.

Tujuannya untuk melahirkan generasi berilmu sekali gus menjadi pemangkin ke arah pembentukan negara maju seperti mana diimpikan.

HAZIRAH SUKIMAN @ HUSIN

Universiti Sains Islam Malaysia

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: