Program bahasa Tamil prasekolah pertama dilancar

PENASIHAT Kementerian Pengangkutan, Tan Sri M Kayveas (dua dari kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Smart Reader, Datuk Seri Richard Ong (dua dari kiri) merasmikan gimik perasmian Smart Reader@Worldwide ‘Program Tamil Language’ di Kompleks Bukit Jalil. – Foto Muhd Zaaba Zakeria

KUALA LUMPUR: Penyedia perkhidmatan pendidikan kanak-kanak prasekolah, Smart Reader Worldwide Sdn Bhd (SRW) melancarkan program bahasa Tamil yang pertama, hari ini. Jenama tempatan itu berjaya mencipta silibus pembelajaran lengkap membabitkan bahasa digunakan meluas komuniti India tempatan selepas memperkenalkan silibus bahasa Inggeris, bahasa Malaysia dan Mandarin sejak 1987. Pengasas SRW, Datuk Seri Dr Richard Ong, berkata pelancaran program bahasa Tamil menjawab pertanyaan ibu bapa mengenai kemahiran bahasa tambahan boleh dipelajari murid Smart Reader. Beliau berkata, kebanyakan ibu bapa moden semakin matang dalam usaha menyiapkan kemahiran tambahan kepada anak mereka sebelum memasuki darjah satu dengan menghantar anak belajar dengan tutor peribadi. “Di Malaysia, pengenalan bahasa ibunda tidak diajar daripada awal melalui sistem pendidikan walaupun kajian menunjukkan masa terbaik belajar bahasa lain adalah ketika usia kanak-kanak. “Ibu bapa yang menghantar anak belajar bahasa Tamil boleh memilih dua tahap iaitu, permulaan melalui tiga jenis buku atau kemajuan (dua jenis buku,” katanya pada pelancaran Program Bahasa Tamil SRW, di sini. Hadir sama, Penasihat Kementerian Pengangkutan, Tan Sri M Kayveas dan Naib Presiden Kanan Parti Progresif Penduduk (myPPP), Datuk Seri Maglin D’Cruz. Smart Reader yang sudah beroperasi 29 tahun di Malaysia turut terkenal di peringkat global dengan rangkaian francaisi di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Asia Barat, Melbourne (Australia) dan Medan (Indonesia) selain, Nigeria, China, Sydney, Turki, Pakistan dan Nepal yang akan dibuka pada awal tahun depan. Silibus digunakan Smart Reader bertaraf antarabangsa serta disahkan bermutu tinggi berdasarkan pengiktirafan beberapa badan antarabangsa dan tempatan seperti Anugerah Pendidikan Global Luar Biasa 2014 serta Anugerah Emas Paling Dipercayai Reader’s Digest pada 2013. Sementara itu, Kayveas berkata, usaha Smart Reader menyediakan pelajaran kepada semua kelompok bangsa wajar diberikan penghargaan. “Smart Reader turut memberikan biasiswa kepada 20 kanak-kanak India kurang mampu untuk memastikan mereka terus berjaya dalam pendidikan prasekolah bahasa ibunda,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Advertisements

Yayasan ECO World serah 15 komputer riba

PENGERUSI Ecoworld Foundation, Tan Sri Lee Lam Thye (berdiri tiga kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Ecoworld Foundation, Datuk Liew Siong Sing (berdiri kanan) serta Pengetua SMK Seri Permata, Datin Jamilah Yusop bermesra bersama pelajar pada majlis Penyerahan Sumbangan 15 buah komputer riba daripada Ecoworld Foundation kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Permata, Kelana Jaya. – Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

PETALING JAYA: Yayasan Eco World menyerahkan 15 unit komputer riba bernilai RM18,000 menerusi Program Bantuan Pelajar kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Permata, di sini, hari ini. Sumbangan disampaikan oleh Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye kepada Pengetua SMK Sri Permata, Datin Jamilah Yusop. Lam Thye berkata, sumbangan itu adalah sebahagian daripada program yayasan bagi meningkatkan kemudahan di sekolah rendah dan menengah terpilih.

“Sejak ditubuhkan pada Mei 2014, yayasan sudah menyampaikan sumbangan bernilai RM321,000 bagi membantu sekolah dengan menyediakan kemudahan asas untuk kegunaan pelajar seperti kerusi, meja dan komputer. “Pihak kami berharap sumbangan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar bagi meningkatkan kemahiran teknologi maklumat bersesuaian dengan era digital ketika ini,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan tajaan komputer riba itu. Yang turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Eco World, Kapten (Bersara) Datuk Liew Siong Sing; Pengetua SMK Sri Permata, Datin Jamilah Yusop serta Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Sri Permata, Jimmy Lim.   Yayasan Eco World adalah badan amal yang ditubuhkan oleh Eco World Development Group Berhad, dengan memberi keutamaan kepada agenda pendidikan menerusi Program Bantuan Pelajar.

Sumber: Berita Harian

Gagasan mempertingkat akademik, sahsiah pelajar

Ahli Jawatankuasa Gagasan Negeri Perak bersama-sama pelajar dan

Ahli Jawatankuasa Gagasan Negeri Perak bersama-sama pelajar dan guru yang mengikuti kursus pembelajaran abad ke-21 di SMK Clifford, Kuala Kangsar, Perak, baru-baru ini.

Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) Negeri Perak menganjurkan kursus pembelajaran abad ke-21 bagi membantu meningkatkan kecemerlangan akademik, sahsiah dan kepemimpinan pelajar.

Pengerusi Gagasan Negeri Pe­rak, Dr. Ismail Zain berkata, kursus ini memberi pendedahan tentang peranan, kemahiran yang perlu dikuasai dan cabaran pada era pembelajaran abad ke-21.

“Pendedahan ini penting bagi melahirkan pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek,” kata Penasihat Tutor Utusan Malaysia ini.

Beliau berkata demikian selepas tamat kursus itu yang disertai 160 pelajar tingkatan 3 hingga 6 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford, Kuala Kangsar, Perak, baru-baru ini.

Pemangku Pengetua SMK Clifford, Wan Badli Shah Wan Zainal memuji tindakan proaktif Gagasan menganjurkan kursus ini yang selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

“Pendedahan ini selari dengan hasrat melahirkan modal insan yang menguasai kemahiran bercirikan 4C iaitu kolaborasi, komunikasi, kreativiti dan fikiran kritis,” jelasnya.

Pendapat ini disokong guru tingkatan 6, Nancita Fazura Raja Ahmad Ghouse yang mencadang­kan agar setiap pelajar mengikuti kursus ini bagi memboleh­kan mereka berkomunikasi dan berkolaborasi dengan lebih efektif.

Sementara itu, Naib Pengerusi Gagasan Negeri Perak, Roslee Abdul Wahab berkata, kursus ini dirancang dengan matlamat membantu menerapkan ciri-ciri sahsiah yang berteraskan perkembangan pendidikan masa kini agar kedudukan mereka dapat diper­tingkat dan dimartabatkan.

Bagi Ketua Penerangan Gagasan Negeri Perak, Mahathir Lop Abdul Rashid, kursus ini merupakan sebahagian usaha yang sedang dibuat untuk memperkenalkan Gagasan sebagai NGO kepada masyarakat dan pelajar-pelajar sekolah.

“Mereka digalakkan menyertai Gagasan sebagai ahli seumur hidup bagi menyumbang ke arah memperjuangkan pendidikan da­lam kalangan pelajar-pelajar Me­la­yu,” katanya.

Sebarang pertanyaan dan penyertaan menjadi ahli boleh diajukan kepada Mahathir di talian 012-5556005.

– Sumber : Utusan online

Karnival Kimia platform efektif kuasai kemahiran pembelajaran abad ke-21

Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Integrasi Gombak menganjurkan Karnival Kimia Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 bagi menerapkan kemahiran pembe­lajaran abad ke-21 di samping mengukuh­kan pemahaman konsep dan memantapkan teknik menjawab soalan peperiksaan.

Guru Cemerlang Kimia sekolah itu, Wan Noor Afifah Wan Yusoff berkata, berbeza dengan program berbentuk seminar atau bengkel, karnival ini memerlukan penglibatan aktif pelajar sama ada sebagai fasilitator atau peserta yang perlu menyiapkan tugasan yang diberikan.

Menurut beliau, sesi dikendalikan oleh pelajar yang lebih berkemahiran yang perlu membim­bing rakan dalam kumpulan yang ditetapkan mengikut stesen masing-masing secara bergilir-gilir.

“Kajian menunjukkan tahap keberkesanan kaedah mengajar pelajar lain ini amat tinggi sehingga 90 peratus lebih berkesan berbanding practise by doing (75%), perbincangan kumpulan (50%), demonstrasi (50%), Audio visual (20%), membaca (10%) dan kuliah (5%).

“Malah, kaedah ini bukan sahaja meningkatkan penguasaan pe­­lajaran dalam subjek berkaitan tetapi turut me­ningkatkan kema­hiran insaniah dan mewujudkan tanggungjawab membantu rakan yang belum atau kurang me­nguasainya.

“Secara langsung kaedah ini berjaya menerapkan pelajar de­ngan ciri-ciri kemahiran pembe­lajaran abad ke-21 iaitu kolabora­tif, komunikasi, pemikiran kritis dan kreativiti,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam karnival itu di SBP Integrasi Gombak, Selangor, baru-baru ini.

Karnival itu disertai 300 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Melawati, SMK Sungai Pusu, Sekolah Sultan Alam Shah, Sekolah Menengah Sains (SMS) Selangor dan SBP Integrasi Gombak.

SMK Taman Melawati dan SMK Sungai Pusu ialah sekolah bimbingan manakala Sekolah Sultan Alam Shah dan SMS Selangor pula sekolah ja­ringan.

Sekolah bimbingan merujuk sekolah yang berada dalam band lebih rendah berbanding sekolah berprestasi tinggi (SBT) manakala sekolah jaringan pula sekolah yang bandnya setara atau lebih baik de­ngan SBT.

Sementara itu, peserta karnival, Nurul Husna Mohd. Ali, 17, berpendapat, karnival ini bersifat dua dalam satu iaitu memberi teknik menjawab soalan dan membantu pelajar menguasai keseluruhan sukatan pelajaran dalam masa yang singkat tetapi berkesan.

“Pendekatan yang digunakan begitu efektif untuk pelajar mendapat pengetahuan baharu dan maklumat tambahan,” katanya.

– Sumber : Utusan online

Budayakan membaca dalam masyarakat

HAKIKATNYA, rakyat membaca adalah rakyat berilmu dan buku yang

HAKIKATNYA, rakyat membaca adalah rakyat berilmu dan buku yang menjadi bahan bacaan utama sememangnya mempunyai khazanah ilmu tidak ternilai. UTUSAN/FAISOL MUSTAFA

BAGI menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam usaha menjadikan rakyat Malaysia sebagai rakyat membaca semua pihak perlu berganding bahu untuk menjayakannya khususnya dalam kalangan warga universiti.

Justeru, langkah yang diambil oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mewujudkan perpustakaan mini di sekitar kampus diikuti beberapa lokasi lain seperti Nilai Impian, Negeri Sembilan dan Kampung Pulau Rusa, Terengganu wajar disokong selain menjadi bukti terhadap komitmen warga universiti tersebut menyuburkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Hakikatnya, rakyat membaca adalah rakyat berilmu dan buku yang menjadi bahan bacaan utama sememangnya mempunyai khazanah ilmu tidak ternilai.

Cuba kita lihat kebanyakan rakyat di negara maju, mereka menjadikan membaca sebagai amalan hidup seharian. Lihat sahaja masyarakat Jepun, bagaimana sebahagian besar mereka gemar membaca. Perlu kita akui asas negara maju dibangunkan oleh rakyat yang berilmu.

Tambahan pula untuk mendapatkan satu-satu fakta yang tepat rujukan perlu dilakukan terhadap buku yang berwibawa dan bukannya semata-mata internet.

Sememangnya fakta yang diperoleh melalui internet perlu disemak beberapa kali bagi memastikan ketepatannya kerana kita bimbang maklumat tersebut dipetik daripada sumber yang tidak sahih.

Dalam pada itu saya mengharapkan lebih banyak universiti awam dapat mencontohi inisiatif yang diambil USIM yang mewujudkan perpustakaan mini di sekitar kawasan tumpuan.

Tujuannya untuk melahirkan generasi berilmu sekali gus menjadi pemangkin ke arah pembentukan negara maju seperti mana diimpikan.

HAZIRAH SUKIMAN @ HUSIN

Universiti Sains Islam Malaysia

– Sumber : Utusan online

RM6 juta untuk Program Inspirasi SPM, UPSR

Jamil Khir Baharom (dua, kiri) menyaksikan pertukaran dokumen

Jamil Khir Baharom (dua, kiri) menyaksikan pertukaran dokumen antara Pengarah Kanan Pembangunan Sosioekonomi dan Perhubungan Korporat Yapeim, Mohamad Zamri Zakaria (kiri) dengan Pengurus Pengedaran Utusan Melayu (M) Berhad, Mohammad Fahmi Asraf Khan (dua, kanan) pada Majlis Menandatangani MoU di Kuala Lumpur, semalam. Yang turut hadir Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad (tiga kanan) dan Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha. Utusan/FAUZI BAHARUDIN

KUALA LUMPUR 25 Okt. – LEMBAGA Pemegang Ama­nah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (Yapeim) memper­untukkan RM6 juta untuk Program Inspirasi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang akan dijalankan yayasan tersebut pada tahun hadapan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, meskipun peruntukan Bajet 2017 belum diperincikan, namun jumlah tersebut akan disediakan bagi membantu 1,450 sekolah menengah dan rendah di negara ini.

Katanya, peruntukan itu mampu merealisasikan usaha membantu pelajar dari segi sokongan serta penjelasan cara menjawab soalan SPM dan UPSR 2017.

“Ini menunjukkan komitmen kita yang tinggi dalam memastikan pendidikan berterusan kepada pelajar. Dana daripada lebih 200 cawangan Ar-Rahnu juga boleh digunakan sebagai tambahan untuk meneruskan Program Inspirasi SPM dan UPSR,” katanya selepas merasmikan Program Inspirasi SPM Yapeim 2016 di sini hari ini.

Program tersebut turut dihadiri lebih 1,200 orang yang terdiri daripada pelajar, ibu bapa dan guru dari beberapa daerah di Selangor seperti Sepang, Gombak, Kuala Selangor dan Petaling Utama.

Berhubung caj visa umrah kali kedua yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi, Jamil Khir berkata, tambahan sebanyak 2,000 riyal (RM2,250) untuk setiap jemaah merupakan keputusan yang mencakupi segala keperluan jemaah.

“Kita tidak boleh terus menolak keputusan itu kerana kenaikan caj berkenaan adalah kepada mereka yang berhasrat mengerjakan umrah untuk kali kedua, bukannya kali pertama,” jelasnya.

Dalam hal itu katanya, mesyua­rat yang akan dijalankan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta Kementerian Luar berhubung kadar caj visa umrah kali kedua tidak melibatkan Lembaga Tabung Haji yang hanya menawarkan perkhidmatan mengerjakan umrah dan haji untuk rakyat Malaysia.

– Sumber : Utusan online

UPM hasilkan kereta lumba guna barangan terpakai

MOHD. NIZAR MOHD. NAIM (dua dari kanan) memberi penerangan mengenai

MOHD. NIZAR MOHD. NAIM (dua dari kanan) memberi penerangan mengenai kereta lumba menggunakan barangan terpakai kepada pengunjung Pameran Penyelidikan dan Inovasi sempena Ekspo Pertanian dan Pesta Konvokesyen UPM 2016 di Serdang, Selangor, semalam.

KUALA LUMPUR 25 Okt. – Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) menunjukkan kreativiti apabila berjaya menghasilkan sebuah kereta lumba dengan menggunakan 90 peratus barangan terpakai.

Pelajar Kejuruteraan Mekanikal UPM, Mohd. Nizar Mohd. Naim berkata, usaha mencipta kereta yang dinamakan Jebat itu adalah untuk menaikkan sukan permotoran dalam kalangan pelajar universiti.

“UPM pernah terlibat dalam pertandingan kereta lumba beberapa tahun yang lalu tetapi sudah lama tidak aktif jadi penciptaan kereta lumba ini adalah untuk menaikkan semula sukan permotoran.

“Dalam masa sama, kami juga berharap penciptaan ini dapat meningkatkan minat serta penge­tahuan pelajar dalam bidang teknologi malah menarik perhatian syarikat luar negara untuk membelinya,” katanya dalam Pameran Penyelidikan dan Inovasi sempena Ekspo Pertanian dan Pesta Konvokesyen UPM 2016 di Serdang, dekat sini hari ini.

Inisiatif daripada 26 pelajar yang dikenali sebagai Putra Mo­torsport Team sejak tahun lalu itu menggunakan barangan terpakai untuk membina sebuah kereta lumba seperti badan kenderaan, papan pemuka, stereng, kerusi pemandu dan enjin de­ngan hanya tayar dan ekzos ditaja kedai-kedai motosikal tempatan.

Kereta lumba Jebat itu kemudiannya akan diuji dalam pertandingan kereta lumba pe­ringkat antarabangsa yang disertai 93 kereta lain mewakili universiti dari seluruh dunia.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati masih ramai yang tidak mahu melepaskan peluang untuk membeli pokok-pokok bunga, baja tanaman dan buah-buahan selain menyaksikan pameran penyelidikan yang dipamerkan 25 buah fakulti walaupun ekspo tersebut akan me­labuhkan tirai esok.

– Sumber : Utusan online