IPT perlu jana pendapatan melalui penyelidikan impak tinggi

DR Noor Azlan (duduk tengah) memberikan taklimat pada Forum Diskusi Pasca Bajet 2017 anjuran UUM, di Kepala Batas, hari ini. – Foto Sharul Hafiz Zam

ALOR SETAR: Institusi pengajian tinggi (IPT) seharusnya memainkan peranan dengan menjana pendapatan sendiri, khususnya melalui program penyelidikan susulan pengurangan peruntukan dalam Bajet 2017 untuk sektor pendidikan tinggi. Ketua Kluster Ekonomi dan Pengurusan Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali, berkata keputusan kerajaan itu tepat pada masanya dalam merangsang IPT agar lebih cekap, berinovasi dan berkeupayaan dalam berdikari. Beliau yang juga Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, IPT boleh menjana pendapatan melalui program penyelidikan berimpak tinggi yang boleh menarik pihak luar untuk menyalurkan dana. “Pengurangan peruntukan tak perlu dilihat secara negatif kerana dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi), memang universiti harus menjana pendapatan mereka sendiri. “Sehubungan itu, IPT harus memaksimumkan sumber yang ada di universiti masing-masing termasuk menjalankan program penyelidikan berimpak tinggi,” katanya selepas Forum Diskusi Pasca Bajet 2017 anjuran Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini hari ini.

Sumber: Berita Harian