PETRONAS bantu tingkat kecemerlangan pendidikan

KETUA Pegawai Eksekutif PETRONAS Chemical Olefins, Glycols and Derivatives Sdn Bhd, M Farid Ngah (berdiri barisan tengah, enam dari kanan); Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Kemaman, Idris Bidin dan Pengurus Besar PETRONAS Wilayah Timur, Wan M Hasnan bergambar pada Majlis Pelancaran Program Kembali Ke Sekolah, Bengkel Kecemerlangan Sains dan Matematik serta Sumbangan Beg Sekolah, di sini, hari ini.

KERTIH: PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) terus komited dalam membantu meningkatkan kecemerlangan pendidikan menerusi pelbagai inisiatif, khususnya di kawasan operasinya. Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Chemicals Olefins, Glycols and Derivatives Sdn Bhd, M Farid Ngah, berkata inisiatif seperti program Kembali Ke Sekolah diharap dapat meringankan bebanan pelajar, selain mempertingkatkan pencapaian akademik terutama bagi pelajar luar bandar dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik. Beliau berkata, sebagai syarikat minyak dan gas nasional, PETRONAS giat melaksanakan pelbagai inisiatif, termasuk program pendidikan khusus yang bermatlamat membantu pelajar kurang bernasib baik untuk mendapatkan asas akademik yang kukuh supaya mereka cemerlang dalam pelajaran. “Program ini dilaksanakan hasil usahasama pihak PCG, Pejabat Pendidikan Daerah dan BH. Justeru, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Media Prima Berhad dan BH khususnya dalam menyokong kami merealisasikan matlamat itu,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Kembali Ke Sekolah di Kompleks Pentadbiran Petrokimia PETRONAS, di sini, hari ini. Yang turut hadir, Pengurus Besar PETRONAS Wilayah Pantai Timur, Wan M Hasnan dan Pegawai Pendidikan Daerah Kemaman, Idris Bidin. Pada majlis itu, M Farid turut menyampaikan sumbangan beg sekolah kepada 375 murid daripada keluarga kurang berkemampuan. Bersempena dengan program itu, PCG turut bekerjasama dengan BH bagi menganjurkan Bengkel Kecemerlangan Matematik dan Sains, yang pernah diadakan buat pertama kali sebelum ini di Sipitang, Sabah.

Sumber: Berita Harian