Tambah peruntukan selenggara bangunan sekolah – NUTP

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berharap kerajaan dapat menambah peruntukan bagi menyelenggara bangunan sekolah di seluruh negara dalam Bajet 2017 demi keselesaan dan keselamatan guru dan pelajar. Presidennya, Kamarozaman Abd Razak, berkata ini sangat penting kerana terdapat bangunan sekolah terjejas akibat faktor masa yang memerlukan penyelenggaraan segera termasuk di Sabah dan Sarawak. “Kami mengadakan perbincangan dengan pihak sekolah, kami dapati terdapat bangunan sekolah lama perlu diselenggara terutama sistem pendawaian bagi mengelak kejadian tidak diingini seperti kebakaran. “Di Sabah dan Sarawak, melalui perbincangan dan tinjauan kami, banyak bangunan sekolah lama memerlukan penambahbaikan,” katanya kepada Bernama. Kamarozaman berkata selain itu ada sekolah terutama sekolah asrama harian dan asrama penuh yang menghadapi masalah bekalan air. “Kami berpandangan walaupun kerajaan kini melaksanakan langkah penjimatan, namun dalam isu penyelenggaraan ia tidak boleh dikompromi. “Ia memerlukan penyelesaian segera supaya tidak mengganggu gugat pelan pendidikan yang telah dirancang kementerian dan sesi pendidikan di sekolah,” katanya. – BERNAMA

Sumber: Berita Harian