Lepasan kolej vokasional bidang pertanian mudah dapat kerja

KUALA LUMPUR: Hampir 90 peratus lepasan kolej vokasional yang mengambil subjek pertanian sudah diterima bekerja. Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan, berkata pada masa sama, pelajar yang masih mengikuti pengajian berkenaan sudah mendapat tawaran kerja. Berdasarkan situasi itu, katanya, ia bermakna lepasan kolej vokasional dalam bidang pertanian mempunyai kebolehpasaran yang tinggi. “Ia juga menunjukkan lepasan kolej vokasional ada hala tuju yang jelas. Selepas tamat pengajian, mereka akan disalurkan dalam sektor pekerjaan untuk dua tahun bagi membolehkan mereka mendapat pengalaman. “Selepas itu, mereka boleh menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi berkaitan,” katanya menjawab soalan tambahan Budiman Zohdi (BN-Sabak Bernam) mengenai kebolehpasaran dan hala tuju pelajar lepasan kolej vokasional yang mengambil kursus pertanian. Soalan itu adalah yang pertama sejak Budiman mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen. Kamalanathan berkata, kementerian sudah mengenal pasti beberapa ikon dalam kalangan lepasan kolej vokasional untuk mempromosikan bidang latihan teknikal dan vokasional (TVET).

Sumber: Berita Harian

Advertisements