Lepasan kolej vokasional bidang pertanian mudah dapat kerja

KUALA LUMPUR: Hampir 90 peratus lepasan kolej vokasional yang mengambil subjek pertanian sudah diterima bekerja. Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan, berkata pada masa sama, pelajar yang masih mengikuti pengajian berkenaan sudah mendapat tawaran kerja. Berdasarkan situasi itu, katanya, ia bermakna lepasan kolej vokasional dalam bidang pertanian mempunyai kebolehpasaran yang tinggi. “Ia juga menunjukkan lepasan kolej vokasional ada hala tuju yang jelas. Selepas tamat pengajian, mereka akan disalurkan dalam sektor pekerjaan untuk dua tahun bagi membolehkan mereka mendapat pengalaman. “Selepas itu, mereka boleh menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi berkaitan,” katanya menjawab soalan tambahan Budiman Zohdi (BN-Sabak Bernam) mengenai kebolehpasaran dan hala tuju pelajar lepasan kolej vokasional yang mengambil kursus pertanian. Soalan itu adalah yang pertama sejak Budiman mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen. Kamalanathan berkata, kementerian sudah mengenal pasti beberapa ikon dalam kalangan lepasan kolej vokasional untuk mempromosikan bidang latihan teknikal dan vokasional (TVET).

Sumber: Berita Harian

Advertisements

Sedia hantar kaunselor kepada murid trauma – Rohani

MENTERI Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim. – Foto Mohd Fadli Hamzah

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bersedia menyediakan bantuan kaunseling kepada murid dan ibu bapa yang terbabit dalam kes rakaman video penggunaan ular ketika mengikuti program membina jati diri di Kuala Kangsar, Perak. Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, yang kecewa dengan kejadian itu berkata kaunselor di bawah kementeriannya bersedia pada bila-bila masa untuk memberi kaunseling kepada murid yang trauma dengan kejadian itu. Katanya, beliau sudah bertemu dan bercakap dengan Timbalan Menteri Pendidikan supaya mengambil tindakan sewajarnya kepada pihak yang terbabit dalam kejadian itu. “Saya akan memantau perkara ini kerana bagi saya ia sesuatu yang sangat trauma. Kalau saya ibu bapa, sudah tentu panik melihat anak dihumban di dalam kolam yang mungkin boleh sebabkan lemas, ditambah dengan ular pula sehingga saya tidak percaya betulkah kejadian itu berlaku. “Sebenarnya apa yang mahu disampaikan, mahu budak itu jadi apa. Bukan itu caranya. Saya akan pantau dengan rapat kerana Akta Kanak-Kanak di bawah saya dan sangat mengambil berat mengenai perkara ini. “Kita juga sedia bila-bila masa hantar kaunselor kepada murid terbabit atau ibu bapa yang mungkin trauma melihat anak mereka dilakukan sedemikian dalam program motivasi berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita di Bangunan Parlimen, sebentar tadi. Sementara itu, mengulas dakwaan bapa saudara menyeleweng duit sumbangan kepada anak mangsa kemalangan ngeri di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), tahun lalu, Rohani berkata, pihaknya akan menghantar semula pegawainya berjumpa penjaga kanak-kanak berkenaan. Katanya, sebelum ini pihaknya diyakinkan bahawa ibu saudaranya akan menjaga kedua-dua kanak-kanak ini dengan baik. “Kalau boleh cuba selesaikan masalah ini dengan baik, selesaikan di peringkat keluarga. Saya tidak mahu ambil anak ini sebab mereka masih ada keluarga,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Tambah peruntukan selenggara bangunan sekolah – NUTP

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berharap kerajaan dapat menambah peruntukan bagi menyelenggara bangunan sekolah di seluruh negara dalam Bajet 2017 demi keselesaan dan keselamatan guru dan pelajar. Presidennya, Kamarozaman Abd Razak, berkata ini sangat penting kerana terdapat bangunan sekolah terjejas akibat faktor masa yang memerlukan penyelenggaraan segera termasuk di Sabah dan Sarawak. “Kami mengadakan perbincangan dengan pihak sekolah, kami dapati terdapat bangunan sekolah lama perlu diselenggara terutama sistem pendawaian bagi mengelak kejadian tidak diingini seperti kebakaran. “Di Sabah dan Sarawak, melalui perbincangan dan tinjauan kami, banyak bangunan sekolah lama memerlukan penambahbaikan,” katanya kepada Bernama. Kamarozaman berkata selain itu ada sekolah terutama sekolah asrama harian dan asrama penuh yang menghadapi masalah bekalan air. “Kami berpandangan walaupun kerajaan kini melaksanakan langkah penjimatan, namun dalam isu penyelenggaraan ia tidak boleh dikompromi. “Ia memerlukan penyelesaian segera supaya tidak mengganggu gugat pelan pendidikan yang telah dirancang kementerian dan sesi pendidikan di sekolah,” katanya. – BERNAMA

Sumber: Berita Harian