UIAM juara Debat Parlimen British Asia

AMEERA Natasha Moore (barisan atas, tengah) dan Mubarrat Wassey (barisan bawah, dua dari kiri) mengharumkan nama negara apabila menjuarai Pertandingan Debat Parlimen British Asia.

GOMBAK: Pasukan pendebat Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengharumkan nama negara apabila menjuarai Pertandingan Debat Parlimen British Asia mengetepikan 79 pasukan dari universiti Asia, di Universitas Prasetiya Mulya, Jakarta, Indonesia, hari ini. Pejabat Komunikasi Korporat UIAM dalam satu kenyataan berkata, UIAM yang diwakili pelajar jurusan ekonomi, Mubarrat Wassey dan Ameera Natasha Moore (jurusan undang-undang) turut menerima anugerah tempat pertama dan kedua pendebat terbaik keseluruhan. Dalam pertandingan akhir membabitkan empat penjuru itu UIAM muncul juara mengetepikan tiga institusi pengajian tinggi dari Singapura iaitu Singapore Management University (SMU), Nanyang Technological University (NTU) dan Yale-NUS College(YNC). Pertandingan kali ini menggunakan format perdebatan Parlimen British yang menyaksikan empat pasukan berentap satu sama lain dengan dalam pusingan akhir, UIAM mempertahankan usul. UIAM menghantar dua pasukan pendebat termasuk pasukan debat kedua dianggotai Ahmad Syarifuddin Ahmad Fakhri dan Sara Abdul Rahim yang turut tersenarai sebagai penerima anugerah 10 Pendebat Terbaik Kejohanan. Kemenangan itu menyaksikan universiti itu mencatatkan tiga kejayaan besar dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini termasuk Australasian Intervarsity Debating (Australs) pada Julai lalu dan United Asian Debating (UADC) pada Jun lalu. Kejayaan itu menjadi inspirasi kepada pendebat universiti itu untuk mencapai sasaran menjuarai Pertandingan Debat Universiti Dunia (WUDC) yang bakal berlangsung pada Disember ini.

Sumber: Berita Harian