Persidangan pendidikan lulus 12 resolusi

TIMBALAN Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin (tengah) melawat pameran sempena Persidangan Penyelidikan dan Pendidikan Kebangsaan IPGM di IPGKBA, Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR: Sebanyak 12 resolusi diluluskan sempena Persidangan Penyelidikan dan Pendidikan Kebangsaan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Dalam Pendidikan Abad Ke-21 dan Masa Hadapan, di sini hari ini. Ia termasuk pemantapan kurikulum, kokurikulum dan pentaksiran prasekolah, sekolah, Institut Pendidikan Guru (IPG) dan institusi pendidikan yang lain mengikut perkembangan dan keperluan pendidikan semasa. Selain itu, pembudayaan kemahiran berfikir secara kritis berdasarkan bukti sahih dan boleh dipercayai serta peningkatan kapasiti berfikir aras tinggi. Resolusi lain ialah peluasan akses kepada pendidikan abad ke-21 untuk semua murid dengan penekanan kepada murid pemulihan dan keperluan khas. Persidangan dua hari mulai semalam di IPG Kampus Bahasa Antarabangsa (IPGKBA) dirasmikan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin. Seramai 350 peserta dan 75 pembentang kertas kerja membabitkan pegawai Kementerian Pendidikan bersama pensyarah Kolej Matrikulasi, Institut Aminuddin Baki, universiti awam (UA), IPG dan guru.

Sumber: Berita Harian