UiTM juara pertandingan Debat Terbuka Ilmu Khas

NOOR Haqim (kanan), Muhammad Syafiq (kiri) bersama Koordinator Debat UiTM SeMalaysia, Azmi Mat selepas pasukan itu diumumkan juara pada Pertandingan Akhir DeTIK 2016 di IPGKIK, hari ini. – Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Universiti Teknologi MARA (UiTM) muncul juara Debat Terbuka Ilmu Khas (DeTIK) 2016 pada pertandingan akhir hari ini, sekali gus mengetepikan 59 pasukan lain. Kemenangan itu menyaksikan pasukan diwakili dua pendebat daripada jurusan undang-undang yang kali pertama berada di pentas akhir DeTIK dan bertindak sebagai pembangkang penutup, Muhammad Syafiq Jebat, 19, serta Noor Haqim Noor Hamiddon, 20, membawa pulang piala pusingan, trofi juara, piala individu, wang tunai RM3,000 dan sijil penghargaan. Naib Juara disandang Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas (IPGKIK) selaku kerajaan penutup yang melayakkan mereka menerima piala individu, wang tunai RM1,500 dan sijil penghargaan. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang membawakan peranan sebagai pembangkang pembuka menduduki tempat ketiga, manakala Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) mewakili kerajaan pembuka, mendapat tempat keempat. Dua pasukan itu masing-masing menerima trofi individu, wang tunai dan sijil penghargaan. Pertandingan akhir membawa usul ‘dewan ini percaya tanggungjawab melahirkan kepimpinan muda terletak pada institusi pendidikan’ adalah kemuncak kepada penganjuran selama empat hari DeTIK 2016 bermula 7 Oktober lalu di IPGKIK. Pengarah IPGKIK, Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali, berkata pertandingan debat bahasa Melayu secara tahunan sejak tahun 2014 anjuran institusi pendidikan itu, bermatlamat menyediakan platform kepada mahasiswa melontarkan idea, mendedahkan mereka dengan isu pendidikan negara dan menggalakkan keyakinan peserta. “Pertandingan ini berpotensi mengembangkan pemikiran mahasiswa berhubung topik pendidikan selaras Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), meningkatkan penguasaan kemahiran berbahasa dan melahirkan generasi berpengetahuan luas. “Kita dapat lihat pertandingan ini bukan saja menjadi wadah dan wacana yang baik kepada mahasiswa untuk berdebat melalui saluran positif, malah medan perbincangan isu semasa serta merapatkan hubungan dalam kalangan peserta daripada institusi pendidikan berbeza,” katanya. Hadiah disampaikan Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk P Kamalanathan. Yang turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Sektor Hal Ehwal Pelajar dan Perhubungan Luar (SHEPL) Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Mohd Shukor Abas. Sebanyak 60 pasukan dan 120 pendebat dari institut pendidikan guru, universiti awam, institusi pendidikan tinggi swasta dan politeknik menyertainya, berbanding 40 pasukan pada penganjuran tahun lalu.

Sumber: Berita Harian