BPTV komited martabatkan pendidikan vokasional

ZAINUREN menyampaikan sijil Graduasi MPV kepada seorang pelajar MPV Sekolah sekitar Hulu Langat pada Majlis Graduasi Pelajar MPV Hulu Langat, hari ini. – Foto Amiruddin

KAJANG: Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPTV) terus komited dalam usaha mempertingkatkan kualiti pendidikan khususnya dalam bidang vokasional. Pengarah Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional Kementerian Pendidikan (KPM), Zainuren Mohd Nor, berkata pihaknya menggariskan tiga langkah utama yang kini giat dilaksanakan bagi meningkatkan kualiti pendidikannya. Beliau berkata, pertama, iaitu meningkatkan enrolmen dalam pendidikan vokasional, kedua merombak kurikulum pendidikan vokasional yang relevan dengan keperluan industri dan ketiga memperbanyakkan kolaborasi antara pihak industri. “Usaha mengangkat martabat pendidikan vokasional bukanlah satu perkara asing malah bidang Latihan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET) kini tidak lagi dianggap sebagai pilihan terakhir generasi muda dan mendapat kepercayaan daripada ibu bapa,” katanya. Beliau berkata demikian pada Majlis Graduasi Pelajar Mata Pelajaran Vokasional (MPV) Sekolah Menengah daerah Hulu Langat bersempena dengan Karnival Teknik dan Vokasional anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Langat di sini, hari ini. Yang turut hadir Pegawai PPD Hulu Langat, Mat Jah Roslan, Timbalan Pegawai PPD Hulu Langat, Zainariah Ahmad Yusop; Presiden Kolej Point, Yoki Chin, Ahli Lembaga Pengarah Geomatika Edugroup Sdn Bhd, Nurul Nadia Mohamad Sharif dan Penolong Pengarah Kanan Unit Teknik dan Vokasional Jabatan Pendidikan Selangor, Ismail Abdullah. Seramai 383 pelajar Tingkatan Lima dari 13 sekolah menengah sekitar Hulu Langat menerima sijil graduasi MPV dalam pelbagai kursus seperti penjagaan muka dan dandanan rambut, landskap dan nurseri; seni reka tanda; automobil dan membuat perabot. Zainuren berkata, usaha memartabatkan pendidikan vokasional perlu dilaksanakan supaya berlaku perubahan landskap dan aliran akan menjadi pilihan utama pelajar serta ibu bapa seperti amalan di negara maju.

Sumber: Berita Harian

Advertisements

UPM, Jabatan Hutan Sarawak meterai MoU penyelidikan

NAIB Canselor UPM, Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris, bertukar MoU bersama Penolong Pengarah Hutan Kanan, Jabatan Hutan Sarawak Jack Ak Liam sambil disaksikan Pro Canselor UPM, Tan Sri Mohamad Bakke Salleh.

BINTULU: Universiti Putra Malaysia (UPM) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Jabatan Hutan Sarawak bagi meningkatkan usaha penyelidikan bersama, di sini hari ini. MoU itu ditandatangani Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris, manakala Jabatan Hutan Sarawak diwakili Penolong Pengarah Hutan Kanan, Jabatan Hutan Sarawak, Jack Ak Liam, sambil disaksikan Pro Canselor UPM, Tan Sri Mohamad Bakke Salleh. Majlis itu berlangsung di Dewan Sri Kenyalang, UPM Kampus Bintulu, sebentar tadi. MoU itu merangkumi pembangunan latihan kakitangan, pembangunan kurikulum untuk latihan skim perkhidmatan Renjer Hutan dan usaha pembangunan pengurusan hutan secara bersama amnya di kepulauan Borneo dan khususnya di Sarawak. Ia juga meliputi kerjasama dalam membangunkan pelan strategik taman-taman negara di Sarawak.

Sumber: Berita Harian

UiTM juara pertandingan Debat Terbuka Ilmu Khas

NOOR Haqim (kanan), Muhammad Syafiq (kiri) bersama Koordinator Debat UiTM SeMalaysia, Azmi Mat selepas pasukan itu diumumkan juara pada Pertandingan Akhir DeTIK 2016 di IPGKIK, hari ini. – Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Universiti Teknologi MARA (UiTM) muncul juara Debat Terbuka Ilmu Khas (DeTIK) 2016 pada pertandingan akhir hari ini, sekali gus mengetepikan 59 pasukan lain. Kemenangan itu menyaksikan pasukan diwakili dua pendebat daripada jurusan undang-undang yang kali pertama berada di pentas akhir DeTIK dan bertindak sebagai pembangkang penutup, Muhammad Syafiq Jebat, 19, serta Noor Haqim Noor Hamiddon, 20, membawa pulang piala pusingan, trofi juara, piala individu, wang tunai RM3,000 dan sijil penghargaan. Naib Juara disandang Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas (IPGKIK) selaku kerajaan penutup yang melayakkan mereka menerima piala individu, wang tunai RM1,500 dan sijil penghargaan. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang membawakan peranan sebagai pembangkang pembuka menduduki tempat ketiga, manakala Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) mewakili kerajaan pembuka, mendapat tempat keempat. Dua pasukan itu masing-masing menerima trofi individu, wang tunai dan sijil penghargaan. Pertandingan akhir membawa usul ‘dewan ini percaya tanggungjawab melahirkan kepimpinan muda terletak pada institusi pendidikan’ adalah kemuncak kepada penganjuran selama empat hari DeTIK 2016 bermula 7 Oktober lalu di IPGKIK. Pengarah IPGKIK, Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali, berkata pertandingan debat bahasa Melayu secara tahunan sejak tahun 2014 anjuran institusi pendidikan itu, bermatlamat menyediakan platform kepada mahasiswa melontarkan idea, mendedahkan mereka dengan isu pendidikan negara dan menggalakkan keyakinan peserta. “Pertandingan ini berpotensi mengembangkan pemikiran mahasiswa berhubung topik pendidikan selaras Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), meningkatkan penguasaan kemahiran berbahasa dan melahirkan generasi berpengetahuan luas. “Kita dapat lihat pertandingan ini bukan saja menjadi wadah dan wacana yang baik kepada mahasiswa untuk berdebat melalui saluran positif, malah medan perbincangan isu semasa serta merapatkan hubungan dalam kalangan peserta daripada institusi pendidikan berbeza,” katanya. Hadiah disampaikan Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk P Kamalanathan. Yang turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Sektor Hal Ehwal Pelajar dan Perhubungan Luar (SHEPL) Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Mohd Shukor Abas. Sebanyak 60 pasukan dan 120 pendebat dari institut pendidikan guru, universiti awam, institusi pendidikan tinggi swasta dan politeknik menyertainya, berbanding 40 pasukan pada penganjuran tahun lalu.

Sumber: Berita Harian

MSU lancar MESC 2016

Wan Junaidi melancarkan program MESC 2016 di MSU Shah Alam.

SHAH ALAM: Management & Science University (MSU) menganjurkan program Kempen Alam Sekitar Mapan (MSU Environmental Sustainability Campaing 2016) (MESC 2016) bagi menyokong hasrat kerajaan mencapai kelestarian ekosistem alam sekitar di negara ini. Majlis pelancaran program itu disempurnakan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, di sini, hari ini. Yang turut hadir, Presiden MSU, Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid dan Naib Canselor, Puan Sri Dr Junainah Abd Hamid. Prof Mohd Shukri berkata, MESC adalah lanjutan kepada aspirasi universiti melalui pelaksanaan MSU U Community: From University to Community, program yang bertujuan merapatkan hubungan antara warga kampus dan komuniti melalui aktiviti kesukarelawanan.

“MESC 2016 menekan usaha penglestarian alam sekitar melalui tujuh inisiatif yang diusahakan oleh mahasiswa MSU,” katanya. Antara tujuh inisiatif itu ialah program konservasi terumbu karang yang dikenali dengan nama My Coral 2, Energy Conservation Awareness Campaign, G-Backstreet Painting, Awareness Campaign on Non Biodegradable Items, Basic Water Filtration System and Conservation, Recycle: Innovation for Sustainability dan Malaysia Truly Asia Souvenirs.

Sumber: Berita Harian

UPM jadi tuan rumah HINEX CAMP kali ke-14

NAIB Canselor UPM, Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris memukul gong sebagai simbolik perasmian HINEX CAMP sambil disaksikan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri, Kumpulan Latihan Kelana Siswa (KLKM), Prof Madya Dr Abdul Rashid Mohamad (dua dari kiri) bersama pengurusan tertinggi UPM, di Kampus Bintulu, di sini, hari ini. – Foto NSTP

BINTULU: Universiti Putra Malaysia (UPM) dipilih sebagai tuan rumah program Higher Institution National Exploration & Camping (HINEX CAMP) kali ke-14, di UPM Kampus Bintulu (UPMKB), di sini, hari ini. Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris, berkata seramai 205 peserta dan pegawai pengiring menyertai program HINEX yang bermula hari ini hingga 15 Oktober depan. Beliau berkata, pengurusan UPM juga menyalurkan sejumlah peruntukan RM150,000 bagi tujuan menaik taraf tapak perkhemahan di Kem Hutan Nirwana sebagai sokongan padu UPM yang menjadi tuan rumah dalam menjayakan program berkenaan. “Saya sendiri sudah melakukan lawatan tapak ke kawasan perkhemahan ini, dan yakin dengan kenaikan taraf ini dapat merealisasikan harapan untuk menjadikan program ini sebagai program yang akan dikenang dan memberikan impak yang tinggi kepada peserta. “Syabas dan tahniah kepada semua Ahli Jawatankuasa Pelaksana yang bertungkus lumus dalam menjayakan penganjuran program ini yang sememangnya sangat signifikan dengan keperluan pelajar pada masa kini. “Kita berharap dengan program ini akan dapat melahirkan pelajar yang cergas serta mempunyai ketahanan dari segi mental dan fizikal melalui aktiviti fizikal dan aktiviti pengakap,” katanya ketika berucap merasmikan program HINEX CAMP kali ke 14, di Dewan Sri Kenyalang, UPM KB, di sini sebentar tadi. Yang turut hadir, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri, Kumpulan Latihan Kelana Siswa (KLKM), Prof Madya Dr Abdul Rashid Mohamad, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM merangkap Pesuruhjaya Kehormat Pengakap Daerah UPM, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Datuk Dr Mad Nasir Shamsudin. Program itu adalah anjuran KLKM daerah UPM membabitkan pelajar UPM, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Universiti Malaya (UM), Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Politeknik Mukah. Program itu turut dijayakan dengan kerjasama UPM Kampus Bintulu, Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar UPM, Persatuan Pengakap Negeri KLKM dan Persatuan Pengakap Malaysia. Antara aktiviti peserta kem itu ialah Similajau Jungle Tracking, Night Walk Kem Hutan Nirwana, Malam Mesra Alumni selain menyertai ekspedisi ke Gua Niah, lawatan ke rumah panjang dan program seperti khidmat komuniti di Kuala Tatau dan Sebauh.

Sumber: Berita Harian

Tindakan tegas terhadap warga Kementerian Pendidikan terbabit militan

KETUA Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof.

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan akan mengambil tindakan tegas tanpa tolak ansur terhadap mana-mana guru, kakitangan sokongan di bawah kementerian itu dan murid-murid yang terbabit dengan kegiatan militan. Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof, turut mengingatkan semua guru supaya menjauhkan diri daripada kegiatan militan kerana ia bukan sahaja memberi kesan negatif kepada negara, malah menjejaskan kemurnian profesion perguruan di kaca mata masyarakat. Beliau, dalam satu kenyataan hari ini, turut menyatakan kesediaan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis bagi membendung kegiatan itu daripada menular. “Tindakan tegas juga akan diambil terhadap warga kementerian ini yang terbabit dengan perbuatan menyebarkan fitnah menerusi pelbagai media sosial dan juga kegiatan bercorak anti kerajaan yang memerintah,” katanya. Khair membuat kenyataan itu menyusuli maklumat bahawa salah seorang daripada 16 yang ditahan kerana dipercayai terlbabit dengan kegiatan kumpulan pengganas dalam operasi polis antara 21 September hingga 6 Oktober lalu adalah seorang guru kaunseling. Anggota kumpulan militan berusia antara 20 hingga 38 tahun itu ditahan pihak polis sekitar Selangor, Kelantan, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Sabah dalam satu operasi khas.

Sumber: Berita Harian