Jangan salah guna ilmu – Sultan Ibrahim

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar meninggalkan majlis selepas Konvokesyen

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar meninggalkan majlis selepas Konvokesyen ke-16 UTHM di Dewan Sultan Ibrahim UTHM Batu Pahat, Johor semalam. BERNAMA

BATU PAHAT 8 Okt. – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menasihatkan golongan terpelajar bahawa ilmu yang dipelajari tidak seharusnya disalahgunakan untuk melakukan perkara-perkara tidak berfaedah termasuk menipu dan mencuri.

Titah baginda, golongan gra­duan yang menerima ijazah juga jangan bersikap terlalu sombong dengan ilmu pengetahuan atau kelebihan yang dimiliki, tetapi perlu bijak merancang kehidupan dan tidak terikut-ikut serta terpengaruh dengan rakan-rakan yang cetek akal.

“Sekiranya kejayaan yang diharap­kan belum dicapai, buatlah dahulu apa juga kerja yang boleh beri pendapatan dan rezeki yang halal.

“Jangan pula menggunakan ilmu dan kebolehan yang ada untuk kerja-kerja yang tidak baik seperti menipu atau mencuri,” titah baginda semasa merasmikan istiadat konvokesyen Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di Dewan Sultan Ibrahim, di sini hari ini.

Turut berangkat Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Pro Canselor UTHM.

Majlis berkenaan turut dihadiri Pro Canselor UTHM, Tan Sri Dr. Ali Hamsa; Pengerusi Lembaga Pe­ngarah UTHM, Tan Sri Dr. Ir. Jamilus Md. Hussin dan Naib Canselor UTHM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Noh Dalimin.

Pada istiadat itu, Sultan Ibrahim yang juga Canselor UTHM ber­kenan menganuge­rahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah kepada Gabenor Sulawesi Selatan, Dr. Syahrul Yasin Limpo atas sumba­ngan dan kejayaan membangunkan wilayah tersebut.

Titah baginda, tidak ada jalan singkat bagi sesiapa pun berjaya dalam kehidupan yang penuh mencabar melainkan bermula dari bawah dengan mencari kerja, meningkatkan pengetahuan dan kebolehan serta membentuk kualiti dalam diri.

“Setiap manusia diberikan rezeki yang berbeza, namun kita mesti sentiasa bersyukur dengan nikmat yang diberikan. Ikut resmi padi, makin berisi makin tunduk dan jangan pula ikut resmi lalang, makin berisi makin tegak,” titah baginda.

Baginda turut berbangga de­ngan pencapaian UTHM yang menjadi salah sebuah universiti awam yang menjadi pilihan industri untuk mengambil graduan be­kerja.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: