Banyakkan pelaburan sektor swasta tingkatkan bilangan pelajar berkualiti

KUALA LUMPUR 6 Okt. – Sektor swasta digalakkan membuat pelaburan bagi meningkatkan bilangan pelajar cemerlang dan tenaga kerja mahir di negara ini.

ALI HAMSA
ALI HAMSA

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, ini sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) bagi memastikan Malaysia menjadi negara yang maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

“Kunci untuk mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi ialah memastikan wang yang dilaburkan oleh sektor swasta adalah mencukupi dan pelaburan tersebut hanya akan terjadi sekiranya negara mempunyai lebih ramai tenaga kerja yang mahir.

“Usaha yang berterusan amat diperlukan supaya negara mempunyai tenaga kerja yang berkualiti tinggi malah usaha yang dilakukan oleh beberapa sektor swasta selama ini telah memenuhi inisiatif kerajaan yang inginkan pelajar-pelajar cemerlang mempunyai peluang untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya ketika berucap dalam Majlis Anugerah Biasiswa Yayasan Jeffrey Cheah di Universiti Sunway dekat sini hari ini.

Sebanyak 500 orang pelajar menerima biasiswa bernilai RM56 juta daripada Yayasan Jeffrey Cheah bagi mengiktiraf para pelajar yang cemerlang dalam akademik, sukan, muzik dan aktiviti-aktiviti kokurikulum yang lain.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.

Sementara itu, Canselor Universiti Sunway, Tan Sri Dr. Jeffrey Cheah berkata, usahanya untuk memperbanyakkan lebih ramai pelajar berkualiti diharap dapat memberi inspirasi kepada masyarakat di negara ini.

“Kami mahu memberi inspirasi kepada golongan berpendapatan tinggi supaya menyumbang lebih banyak kepada pembangunan negara dan mungkin kualiti Universiti Sunway belum lagi bertaraf dunia tetapi adalah harapan kami untuk menjadi seperti Universiti Havard satu hari nanti.

“Pada masa yang sama, pelaburan yang besar terhadap pendidikan diharap dapat membasmi kemiskinan di negara ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: