AKSES PENDIDIKAN TINGGI LEBIH TERBUKA

MUKADIMAH: DENGAN kepesatan pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) seluruh dunia, Kementerian Pendidikan Tinggi dengan kerjasama Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) telah membangun dan melaksanakan Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) dan pembelajaran secara kursus dalam talian terbuka (MOOC).

Rujhan Mustafa

 

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut sistem pendidikan tinggi baharu ini, wartawan Utusan Malaysia, SITI NORHAWA MOHD. ALI menemuramah Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Dat uk Dr. Rujhan Musta fa di pejabat MQA baru-baru ini.

 

Boleh ceritakan serba-sedikit mengenai APEL dan MOOC?

RUJHAN: Tahun 2016 menyaksikan satu fenomena baharu dalam pendidikan tinggi negara apabila kita berjaya membangun dan melaksanakan sistem baharu iaitu APEL dan MOOC. Sistem ini bukan sahaja selaras dengan peredaran masa dan teknologi, bahkan membuatkan pembelajaran lebih fleksibel, santai malah di­terima oleh kebanyakan generasi baharu.

Dalam sistem baharu ini, kita mengambil pelajar untuk me­lanjutkan pelajaran berdasarkan pengalaman terkumpul bekerja, hobi atau minat seseorang untuk menyokong nilai pembelajaran di sebuah institusi pengajian tinggi. APEL ibarat ‘peluang kedua’ kepada sesiapa yang mempunyai minat dan pengalaman hebat tetapi tidak mempunyai syarat kelayakan minimum untuk me­nyambung pelajaran.

Contohnya jika seseorang itu tidak mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana sebab-sebab tertentu, tetapi sudah berjaya dalam bidang lain seperti perniagaan, sukan atau bidang seni, mereka kini boleh menyam­bung pelajaran dalam tempoh masa lebih pendek. Ini kerana sistem APEL ini akan mengiktiraf pengalaman terkumpul mereka sebagai kredit untuk melengkapkan pengajian.

Sekarang ramai anak muda yang sudah berjaya dalam bidang perniagaan dalam usia seawal 18 tahun, jadi mereka ini boleh mengambil sijil di mana-mana kolej komuniti. Jika berumur 20 tahun, boleh pilih program di­p­loma manakala pada umur 21 tahun, mereka boleh memilih mana-mana program ijazah sarjana muda. Jika mereka sudah ada diploma, boleh terus buat ijazah sarjana tanpa perlu mengambil ijazah sarjana muda.

Bukan itu sahaja, mereka yang menyambung pelajaran mengikut sistem ini juga layak meminjam dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) seperti pelajar lain.

Mungkin selepas ini, seseorang boleh menamatkan pengajian ijazah sarjana muda dalam tempoh setahun setengah sahaja apabila kita mengambil kira semua aspek seperti pengalaman be­kerja, hobi, minat dan sebagainya yang akan dinilaikan kepada nilai kredit.

MOOCS pula adalah peluang kepada mereka yang berminat meningkatkan kewibawaan diri melalui bidang pendidikan. MOOC telah menjadi satu trend dunia sekarang. Pelajar yang mengikuti MOOC boleh mendapat diploma atau ijazah dalam bidang masing-ma­sing tanpa perlu ke kelas.

Malaysia negara pertama yang memberikan kredit kepada pelajar yang mengikut kaedah pem­belajaran secara MOOC.

Mengapa MQA membangunkan sistem ini?

Pembangunan ICT yang sa­ngat pesat membolehkan aktiviti pembelajaran berjalan bila-bila masa di mana jua kita berada. Jadi kita merangka satu kaedah pem­belajaran yang boleh menyokong hasrat kementerian iaitu untuk menjadikan negara ini sebagai pusat kecemerlangan pendidikan tinggi dalam talian bertaraf global.

Sebagai agensi tunggal kebangsaan dalam menjamin kua­liti program akademik, menjadi tanggungjawab MQA untuk memastikan semua standard itu dibangunkan, ditetapkan dan penilaian dijalankan secara teliti.

Pembelajaran mesti mengikut peredaran masa. Melalui sistem baharu ini, kita dapat mengiktiraf pengalaman secara akademik ia­itu kedua-duanya berjalan seiring.

APEL A kita telah mulakan pada 2011 apabila kita buka kepada mereka yang mempunyai bakat tetapi tiada syarat kelaya­k­an minimum untuk masuk universiti. APEL C yang baru dimulakan ming­gu lepas pula satu proses mempercepatkan tempoh pengajian berdasarkan pengalaman.

Apa kesan pelaksanaan sistem baharu pendidikan tinggi ini?

Negara kita sudah menyatakan komitmen untuk menjadi hab pendidikan tinggi serantau jadi apabila kita mempunyai satu kelainan dalam sistem pembelajaran, negara lain akan melihat kredibiliti negara kita malah kita akan jadi lebih menonjol berbanding yang lain. Ekosistem sektor pendidikan tinggi akan berubah. Walaupun mungkin belum sepenuhnya, tetapi kita telah menjadi perintis kepada kaedah pembelajaran seperti ini.

Bukan itu sahaja, apabila pelajar yang memohon melalui sistem APEL dan pelajar biasa berada dalam satu kelas, kita akan dapat melihat perkongsian pengalaman dan akademik yang lebih besar sekali gus meningkatkan kualiti mahasiswa kita.

Dengan pembangunan sistem MOOC di seluruh dunia pula, kita mungkin boleh belajar daripada profesor terkenal dari universiti terkemuka seperti Universiti Harvard tanpa perlu ke sana, hanya melalui pembelajaran dalam talian.

Sambutan dan harapan MQA terhadap sistem baharu ini?

Untuk tahun ini sahaja, permohonan APEL A sudah mencapai 1,000 orang pemohon dan kita harap sambutan untuk APEL C dan MOOC juga positif.

Di MQA, kami ingin mengga­lakkan semua lapisan masyarakat mengambil peluang ini untuk mendukung proses pembelajaran sepanjang hayat sekali gus menyokong hasrat kerajaan menjadikan negara sebagai hab pendidikan global.

Kita berharap usaha MQA serta kementerian membangunkan sistem baharu ini untuk memperluaskan akses pendidikan tinggi negara kepada masyarakat akan disambut baik oleh semua pihak.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: