UMT, Petronas semai kesedaran ekosistem

SETIU 4 Okt. – Program Kami Sayang Ba­kau 5.0 merupakan salah satu rentetan usaha untuk menyemai kesedaran kepada masyarakat terhadap ke­perluan mengekal dan memulihara kawasan hutan bakau dan tanah bencah Setiu.

Program yang bermula sejak 2012 merupakan sebahagian daripada aktiviti tahunan bagi pengembangan dan pemindahan ilmu oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang dibiayai sepenuhnya oleh Petronas Carigali Sdn. Bhd. (PCSB).

Kawasan tanah bencah terluas di negara ini yang sering dianggap sebagai kawasan terbiar, kini terdedah kepada ancaman kemusnahan akibat penambakan atau pengubahsuaian yang mengganggu sistem pengairan semula jadi.

Pengurus Kanan Jabatan Ke­se­lamatan dan Kesihatan Sekitar Petronas, Khoo Jet Seng berkata, persekitaran semula jadi tanah becah dengan ekosistemnya penting sebagai pusat pembiakan hidupan laut.

“Ia juga melindungi tanah pesisir daripada ombak dan sumber pendapatan tradisional selain menjadi tarikan dalam aspek ekopelancong­an,” katanya dalam Program Kami Sayang Bakau 5.0 di Kampung Gong Batu, di sini baru-baru ini.

Katanya, Petronas telah menyumbang lebih RM100,000 kepada masyarakat setempat di situ sejak lima tahun lalu bagi memulihara hutan bakau dan tanah bencah,selain Program Biodiversiti di Pulau Redang.

“Ini merupakan sebahagian daripada aktiviti di bawah tanggungjawab sosial korporat dalam bidang pemuliharaan alam sekitar,” katanya.

Melalui siri penghayatan ekosistem bakau ini yang melibatkan pelbagai pihak telah membantu mengukuhkan keperluan me­nguat kuasa perundingan bagi menjamin kemampanannya dan kerajaan negeri bersetuju untuk mewartakan 400 hektar kawasan itu sebagai Taman Negeri.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: