Transformasi pendidikan Orang Asli

MY Yellow Book antara program transformasi pendidikan yang diperkenalkan

MY Yellow Book antara program transformasi pendidikan yang diperkenalkan kepada murid Orang Asli di Sekolah Kebangsaan Seri Sedohok, Mersing, Johor, Jun lalu. UTUSAN/MOHAMAD SAARI

SENARIO penyediaan pendidikan asas bagi masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia diselubungi isu dan polemik yang tidak berkesudahan. Pelbagai kajian dan inisiatif telah dilaksanakan, namun tahap pendidikan dalam kalangan komuniti orang asal ini masih kekal di takuk lama. Insiden yang berlaku akhir tahun lalu melibatkan kematian enam daripada tujuh orang murid Orang Asli yang melarikan diri dari asrama sekolah dalam jajahan Gua Musang, memperkukuhkan lagi andaian bahawa masyarakat orang asli – terutama yang menetap jauh di pedalaman – kurang mementingkan aspek pendidikan dalam kehidupan.

Terpanggil untuk merungkai kebenaran di sebalik andaian ini, sekumpulan penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berkampung di Pos GOB, Gua Musang, Kelantan, iaitu pos penempatan Orang Asli paling dalam di Malaysia dari 24 hingga 26 September baru-baru ini.

Kumpulan penyelidik yang menyertai program khidmat masyarakat anjuran Pusat Transformasi Universiti-Komuniti (UCTC), UKM dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) EPIC Malaysia yang melakukan tinjauan awal lokasi serta atur gerak logistik sepanjang program ini telah cuba menyelami segala isu dan permasalahan yang dihadapi komuniti Orang Asli di penempatan terpencil ini dari pelbagai sudut yang ada hubung kait dengan aspek pendidikan.

Tempoh perjalanan melebihi 12 jam untuk sampai ke lokasi dari Kuala Lumpur termasuk hampir lima jam melalui jalan hutan pembalakan yang mencabar ketahanan mental dan fizikal, tidak melunturkan semangat ahli-ahli kumpulan penyelidikan ini yang terdiri daripada pakar-pakar bidang pendidikan, ekonomi, perubatan, dan sains kesihatan UKM untuk memastikan objektif dan misi program ini dapat dicapai dengan sebaik-baiknya.

Natijahnya, pelbagai aktiviti penyelidikan yang dijalankan di Pos GOB, Gua Musang ini memberi petunjuk bahawa komuniti Orang Asli memiliki pandangan jauh serta sikap yang terbuka terhadap kepentingan pendidikan dalam kehidupan. Walau bagaimanapun, faktor-faktor seperti jarak sekolah dengan penempatan serta kurangnya prasarana pembelajaran dan pengajaran sempurna disediakan dalam lokaliti persekitaran tempat tinggal menjadikan generasi muda orang asal ini kurang terdedah dan tidak berminat untuk meneruskan pendidikan.

Dalam kalangan masyarakat dewasa Orang Asli, mereka bimbang dengan kelangsungan masa depan generasi muda mereka yang semakin hari dilihat semakin jauh dengan pendidikan formal. Senario ini lebih ketara dalam kalangan remaja lelaki berbanding remaja perempuan dan kumpulan penyelidik UKM-EPIC Malaysia bersepakat bahawa sudah tiba masanya sesuatu perlu dilakukan bagi mentransformasikan usaha menarik kembali minat masyarakat Orang Asli terhadap pendidikan.

Keperluan pendidikan masya­rakat Orang Asli perlu dilihat dalam konteks komuniti yang berbeza. Oleh kerana komuniti ini mempunyai keperluan-ke­perluan khusus dan unik yang didorong oleh faktor-faktor seperti adat resam dan persekitaran tempat tinggal, maka penyediaan pendidikan untuk mereka harus dilakukan dengan pendekatan yang bersesuaian.

Pendidikan asas bagi para pelajar Orang Asli umpamanya wajar dibangunkan dengan falsafah untuk membolehkan mereka memiliki kemahiran-kemahiran yang perlu bagi meneruskan kelangsungan kehidupan dalam persekitaran; sebagai contoh, kemahiran 3M (membaca, menulis, mengira) akan membolehkan mereka melakukan urusan jual beli dalam kehidupan seharian tanpa diambil kesempatan oleh pihak-pihak berkepentingan.

Dalam erti kata lain, fokus pendidikan khusus untuk masyarakat ini bukanlah dengan menekankan keperluan untuk memenuhi silibus kebangsaan, sebaliknya lebih kepada bagaimana ilmu yang diterap dapat memberi sumbangan berguna kepada kehidupan mereka. Selain itu, langkah untuk menggunakan sumber tenaga manusia berkelayakan dalam kalangan masyarakat setempat sebagai warga pendidik juga dilihat sebagai satu usaha yang dapat mentransformasikan pendidikan untuk komuniti Orang Asli. Ini kerana mereka lebih memahami budaya dan pegangan nilai kaum mereka, maka proses pendidikan akan dapat dilaksanakan dengan lebih terancang.

Sudah tiba masanya masya­rakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia diberi layanan sama rata seperti warganegara lain terutama dalam aspek pendidikan. Namun, dalam hal ini, falsafah ‘pendidikan untuk semua’ tidak wajar disetarakan dengan ideologi ‘one size fits all’.

Dalam konteks pendidikan untuk Orang Asli, mereka sememang­nya berhak untuk mendapat pendidikan sebagai warganegara, namun atas sebab-sebab tertentu, aspek pendidikan yang perlu disediakan untuk mereka harus bersifat ‘terbeza’ dan unik (differentiated and specialized). Sebagaimana populasi pelajar dengan keperluan khusus yang lain (misalnya, pelajar dengan masalah pembelajaran serta pelajar pintar dan berbakat), populasi pelajar Orang Asli turut perlu dibantu oleh pihak-pihak berkaitan untuk mencapai aspirasi pendidikan yang diperlukan mereka.

DR. ABU YAZID ABU BAKAR ialah Pensyarah Kanan (Bimbingan dan Kaunseling), Jabatan Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: