Enam kursus kaunseling tahap sarjana diperkenalkan pada 2017

PUTRAJAYA 4 Okt. – Lembaga Kaunselor akan memperkenalkan enam kursus dalam bidang kaunseling kepada institut penga­jian tinggi awam dan swasta bagi pengajian peringkat sarjana bermula tahun hadapan.

ROHANI ABDUL KARIM

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, tempoh pengajian yang akan mengambil masa dua tahun itu dijangka dapat melahirkan kaunselor yang mahir dalam bidang bersesuaian dengan keperluan semasa.

Beliau berkata, Lem­­baga Kaunselor yang akan mengawal dan membangunkan tahap profesional kaunselor dan perkhidmatan kaunseling itu turut bertanggungjawab dalam memperkenalkan enam bidang yang diletakkan di bawah Pia­waian Latihan dan Kelayakan Kaunselor dengan Pengkhususan.

“Enam kursus tersebut terdiri daripada kaunseling ketagihan, kaunseling kerjaya, kaunseling kesihatan mental kritikal, kaunseling perkahwinan dan kekeluargaan, kaunseling sekolah serta kaunseling pelajar institut pengajian tinggi.

“Beberapa buah universiti tempatan juga telah menunjukkan minat untuk memperkenalkan bidang tersebut di institusi masing-ma­sing,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Bu­lan Kaunseling Kebangsaan 2016 di sini hari ini.

Majlis bertemakan ‘Kami Di Sini Untuk Anda’ itu turut dihadiri Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluar­ga dan Masyarakat, Datin Paduka Chew Mei Fun dan Ketua Setiausaha kementerian, Dr. Rose Lena Lazemi.

Rohani berkata, peranan kaunselor semakin diperlukan untuk menangani cabaran yang bukan sahaja tertumpu ketika berhadapan dengan tragedi atau bencana tetapi perubahan sikap orang ramai ekoran ledakan teknologi maklumat.

Sebagai contoh, katanya, kehidupan masyarakat semakin berubah apabila saling berkomunikasi menerusi aplikasi WhatsApp dan bukan lagi melalui perbualan biasa termasuk antara ibu dan anak serta pasangan suami isteri.

Situasi tersebut, ujar beliau, mencetuskan perubahan baha­ru yang menuntut peranan ma­syarakat dan kaunselor untuk memperbetulkan semula ke­adaan walaupun ia mungkin terpaksa mengambil masa yang panjang.

“Perkhidmatan kaunseling perlu dibudayakan dalam menangani permasalahan berkaitan dengan sosio-emosi selain mengubah persepsi umum yang melihat kaunseling untuk tujuan pemulihan semata-mata,” katanya.

Sehingga 31 Ogos lalu, Lembaga Kaunselor telah berjaya mendaftarkan sejumlah 6,762 orang kaunselor di negara ini yang secara khususnya 5,980 kaunselor didaftarkan di Semenanjung, 477 orang didaftarkan di Sabah manakala 305 orang lagi di Sarawak.

Daripada jumlah tersebut sektor perguruan mencatat angka tertinggi iaitu 3,024 orang, lain-lain sektor perkhidmatan awam 1,276 orang manakala institusi pengajian tinggi 613 orang dan pertubuhan bukan kerajaan serta swasta dan persendirian seramai 1,849 orang kaunselor.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: