UMT, Petronas semai kesedaran ekosistem

SETIU 4 Okt. – Program Kami Sayang Ba­kau 5.0 merupakan salah satu rentetan usaha untuk menyemai kesedaran kepada masyarakat terhadap ke­perluan mengekal dan memulihara kawasan hutan bakau dan tanah bencah Setiu.

Program yang bermula sejak 2012 merupakan sebahagian daripada aktiviti tahunan bagi pengembangan dan pemindahan ilmu oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang dibiayai sepenuhnya oleh Petronas Carigali Sdn. Bhd. (PCSB).

Kawasan tanah bencah terluas di negara ini yang sering dianggap sebagai kawasan terbiar, kini terdedah kepada ancaman kemusnahan akibat penambakan atau pengubahsuaian yang mengganggu sistem pengairan semula jadi.

Pengurus Kanan Jabatan Ke­se­lamatan dan Kesihatan Sekitar Petronas, Khoo Jet Seng berkata, persekitaran semula jadi tanah becah dengan ekosistemnya penting sebagai pusat pembiakan hidupan laut.

“Ia juga melindungi tanah pesisir daripada ombak dan sumber pendapatan tradisional selain menjadi tarikan dalam aspek ekopelancong­an,” katanya dalam Program Kami Sayang Bakau 5.0 di Kampung Gong Batu, di sini baru-baru ini.

Katanya, Petronas telah menyumbang lebih RM100,000 kepada masyarakat setempat di situ sejak lima tahun lalu bagi memulihara hutan bakau dan tanah bencah,selain Program Biodiversiti di Pulau Redang.

“Ini merupakan sebahagian daripada aktiviti di bawah tanggungjawab sosial korporat dalam bidang pemuliharaan alam sekitar,” katanya.

Melalui siri penghayatan ekosistem bakau ini yang melibatkan pelbagai pihak telah membantu mengukuhkan keperluan me­nguat kuasa perundingan bagi menjamin kemampanannya dan kerajaan negeri bersetuju untuk mewartakan 400 hektar kawasan itu sebagai Taman Negeri.

– Sumber : Utusan online

Advertisements

Enam kursus kaunseling tahap sarjana diperkenalkan pada 2017

PUTRAJAYA 4 Okt. – Lembaga Kaunselor akan memperkenalkan enam kursus dalam bidang kaunseling kepada institut penga­jian tinggi awam dan swasta bagi pengajian peringkat sarjana bermula tahun hadapan.

ROHANI ABDUL KARIM

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, tempoh pengajian yang akan mengambil masa dua tahun itu dijangka dapat melahirkan kaunselor yang mahir dalam bidang bersesuaian dengan keperluan semasa.

Beliau berkata, Lem­­baga Kaunselor yang akan mengawal dan membangunkan tahap profesional kaunselor dan perkhidmatan kaunseling itu turut bertanggungjawab dalam memperkenalkan enam bidang yang diletakkan di bawah Pia­waian Latihan dan Kelayakan Kaunselor dengan Pengkhususan.

“Enam kursus tersebut terdiri daripada kaunseling ketagihan, kaunseling kerjaya, kaunseling kesihatan mental kritikal, kaunseling perkahwinan dan kekeluargaan, kaunseling sekolah serta kaunseling pelajar institut pengajian tinggi.

“Beberapa buah universiti tempatan juga telah menunjukkan minat untuk memperkenalkan bidang tersebut di institusi masing-ma­sing,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Bu­lan Kaunseling Kebangsaan 2016 di sini hari ini.

Majlis bertemakan ‘Kami Di Sini Untuk Anda’ itu turut dihadiri Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluar­ga dan Masyarakat, Datin Paduka Chew Mei Fun dan Ketua Setiausaha kementerian, Dr. Rose Lena Lazemi.

Rohani berkata, peranan kaunselor semakin diperlukan untuk menangani cabaran yang bukan sahaja tertumpu ketika berhadapan dengan tragedi atau bencana tetapi perubahan sikap orang ramai ekoran ledakan teknologi maklumat.

Sebagai contoh, katanya, kehidupan masyarakat semakin berubah apabila saling berkomunikasi menerusi aplikasi WhatsApp dan bukan lagi melalui perbualan biasa termasuk antara ibu dan anak serta pasangan suami isteri.

Situasi tersebut, ujar beliau, mencetuskan perubahan baha­ru yang menuntut peranan ma­syarakat dan kaunselor untuk memperbetulkan semula ke­adaan walaupun ia mungkin terpaksa mengambil masa yang panjang.

“Perkhidmatan kaunseling perlu dibudayakan dalam menangani permasalahan berkaitan dengan sosio-emosi selain mengubah persepsi umum yang melihat kaunseling untuk tujuan pemulihan semata-mata,” katanya.

Sehingga 31 Ogos lalu, Lembaga Kaunselor telah berjaya mendaftarkan sejumlah 6,762 orang kaunselor di negara ini yang secara khususnya 5,980 kaunselor didaftarkan di Semenanjung, 477 orang didaftarkan di Sabah manakala 305 orang lagi di Sarawak.

Daripada jumlah tersebut sektor perguruan mencatat angka tertinggi iaitu 3,024 orang, lain-lain sektor perkhidmatan awam 1,276 orang manakala institusi pengajian tinggi 613 orang dan pertubuhan bukan kerajaan serta swasta dan persendirian seramai 1,849 orang kaunselor.

– Sumber : Utusan online

Elaun sara hidup pelajar dibayar hari ini

PUTRAJAYA 4 Okt. – Semua pelajar tajaan Kementerian Pendidikan Tinggi di luar negara akan menerima elaun sara hidup seawal-awalnya esok atau selewat-lewatnya 11 Oktober ini.

Kementerian tersebut dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, kelewatan pembayaran elaun sara hidup bagi bulan Oktober 2016 hingga Januari 2017 adalah disebabkan beberapa masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan.

“Pembayaran elaun sara hidup melibatkan 1,167 pelajar ini adalah bergantung kepada proses transaksi bank-bank tempatan di luar negara,” jelas kenyataan itu.

Dalam surat pengumuman kelewatan pembayaran bertarikh 30 September lalu yang ditandatangani Setiausaha Bahagian Biasiswa, Aidawati Misdar bagi pihak Ketua Setiausaha kementerian, pelajar-pelajar tajaan kementerian itu sepatutnya menerima elaun sara hidup pada 14 Oktober ini.

– Sumber : Utusan online

Transformasi pendidikan Orang Asli

MY Yellow Book antara program transformasi pendidikan yang diperkenalkan

MY Yellow Book antara program transformasi pendidikan yang diperkenalkan kepada murid Orang Asli di Sekolah Kebangsaan Seri Sedohok, Mersing, Johor, Jun lalu. UTUSAN/MOHAMAD SAARI

SENARIO penyediaan pendidikan asas bagi masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia diselubungi isu dan polemik yang tidak berkesudahan. Pelbagai kajian dan inisiatif telah dilaksanakan, namun tahap pendidikan dalam kalangan komuniti orang asal ini masih kekal di takuk lama. Insiden yang berlaku akhir tahun lalu melibatkan kematian enam daripada tujuh orang murid Orang Asli yang melarikan diri dari asrama sekolah dalam jajahan Gua Musang, memperkukuhkan lagi andaian bahawa masyarakat orang asli – terutama yang menetap jauh di pedalaman – kurang mementingkan aspek pendidikan dalam kehidupan.

Terpanggil untuk merungkai kebenaran di sebalik andaian ini, sekumpulan penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berkampung di Pos GOB, Gua Musang, Kelantan, iaitu pos penempatan Orang Asli paling dalam di Malaysia dari 24 hingga 26 September baru-baru ini.

Kumpulan penyelidik yang menyertai program khidmat masyarakat anjuran Pusat Transformasi Universiti-Komuniti (UCTC), UKM dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) EPIC Malaysia yang melakukan tinjauan awal lokasi serta atur gerak logistik sepanjang program ini telah cuba menyelami segala isu dan permasalahan yang dihadapi komuniti Orang Asli di penempatan terpencil ini dari pelbagai sudut yang ada hubung kait dengan aspek pendidikan.

Tempoh perjalanan melebihi 12 jam untuk sampai ke lokasi dari Kuala Lumpur termasuk hampir lima jam melalui jalan hutan pembalakan yang mencabar ketahanan mental dan fizikal, tidak melunturkan semangat ahli-ahli kumpulan penyelidikan ini yang terdiri daripada pakar-pakar bidang pendidikan, ekonomi, perubatan, dan sains kesihatan UKM untuk memastikan objektif dan misi program ini dapat dicapai dengan sebaik-baiknya.

Natijahnya, pelbagai aktiviti penyelidikan yang dijalankan di Pos GOB, Gua Musang ini memberi petunjuk bahawa komuniti Orang Asli memiliki pandangan jauh serta sikap yang terbuka terhadap kepentingan pendidikan dalam kehidupan. Walau bagaimanapun, faktor-faktor seperti jarak sekolah dengan penempatan serta kurangnya prasarana pembelajaran dan pengajaran sempurna disediakan dalam lokaliti persekitaran tempat tinggal menjadikan generasi muda orang asal ini kurang terdedah dan tidak berminat untuk meneruskan pendidikan.

Dalam kalangan masyarakat dewasa Orang Asli, mereka bimbang dengan kelangsungan masa depan generasi muda mereka yang semakin hari dilihat semakin jauh dengan pendidikan formal. Senario ini lebih ketara dalam kalangan remaja lelaki berbanding remaja perempuan dan kumpulan penyelidik UKM-EPIC Malaysia bersepakat bahawa sudah tiba masanya sesuatu perlu dilakukan bagi mentransformasikan usaha menarik kembali minat masyarakat Orang Asli terhadap pendidikan.

Keperluan pendidikan masya­rakat Orang Asli perlu dilihat dalam konteks komuniti yang berbeza. Oleh kerana komuniti ini mempunyai keperluan-ke­perluan khusus dan unik yang didorong oleh faktor-faktor seperti adat resam dan persekitaran tempat tinggal, maka penyediaan pendidikan untuk mereka harus dilakukan dengan pendekatan yang bersesuaian.

Pendidikan asas bagi para pelajar Orang Asli umpamanya wajar dibangunkan dengan falsafah untuk membolehkan mereka memiliki kemahiran-kemahiran yang perlu bagi meneruskan kelangsungan kehidupan dalam persekitaran; sebagai contoh, kemahiran 3M (membaca, menulis, mengira) akan membolehkan mereka melakukan urusan jual beli dalam kehidupan seharian tanpa diambil kesempatan oleh pihak-pihak berkepentingan.

Dalam erti kata lain, fokus pendidikan khusus untuk masyarakat ini bukanlah dengan menekankan keperluan untuk memenuhi silibus kebangsaan, sebaliknya lebih kepada bagaimana ilmu yang diterap dapat memberi sumbangan berguna kepada kehidupan mereka. Selain itu, langkah untuk menggunakan sumber tenaga manusia berkelayakan dalam kalangan masyarakat setempat sebagai warga pendidik juga dilihat sebagai satu usaha yang dapat mentransformasikan pendidikan untuk komuniti Orang Asli. Ini kerana mereka lebih memahami budaya dan pegangan nilai kaum mereka, maka proses pendidikan akan dapat dilaksanakan dengan lebih terancang.

Sudah tiba masanya masya­rakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia diberi layanan sama rata seperti warganegara lain terutama dalam aspek pendidikan. Namun, dalam hal ini, falsafah ‘pendidikan untuk semua’ tidak wajar disetarakan dengan ideologi ‘one size fits all’.

Dalam konteks pendidikan untuk Orang Asli, mereka sememang­nya berhak untuk mendapat pendidikan sebagai warganegara, namun atas sebab-sebab tertentu, aspek pendidikan yang perlu disediakan untuk mereka harus bersifat ‘terbeza’ dan unik (differentiated and specialized). Sebagaimana populasi pelajar dengan keperluan khusus yang lain (misalnya, pelajar dengan masalah pembelajaran serta pelajar pintar dan berbakat), populasi pelajar Orang Asli turut perlu dibantu oleh pihak-pihak berkaitan untuk mencapai aspirasi pendidikan yang diperlukan mereka.

DR. ABU YAZID ABU BAKAR ialah Pensyarah Kanan (Bimbingan dan Kaunseling), Jabatan Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

– Sumber : Utusan online

SPM, PT3 tetap dijalankan di SMK Balung

KEADAAN bangkai helikopter Nuri melibatkan bahagian roda dan enjin

KEADAAN bangkai helikopter Nuri melibatkan bahagian roda dan enjin selepas nahas pesawat milik TUDM itu yang terhempas di sekolah itu, kelmarin. – UTUSAN/IRWAN MAJID

KUALA LUMPUR 5 Okt.- Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) akan tetap dijalankan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balung, Tawau di bangunan yang tidak terjejas.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan berkata, pelajar sekolah tersebut juga dijangka memulakan persekolahan esok namun ia tertakluk kepada hasil siasatan yang dijalankan di bangunan berkenaan.

“Tidak semua bangunan terjejas, sekiranya keadaan selamat semua pelajar akan memulakan persekolahan seperti biasa esok.

“Hanya bangunan yang perlu dibaiki dibiarkan kosong sehingga kerja pembaikan dijalankan,” kata Kamalanathan selepas merasmikan seminar ‘200 tahun Pendidikan Bahasa Tamil di Malaysia’ di Hotel Grand Continental, di sini hari ini.

Kelmarin, sebuah helikopter milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan pendaratan kecemasan di sekolah tersebut, menyebabkan beberapa blok ba­ngunan sekolah rosak terutama Dewan Terbuka SMK Balung yang masih dalam pembinaan, dan mencederakan 22 yang lain termasuk krew dan penumpang helikopter, beberapa pelajar sekolah dan seorang pekerja pembersihan.

– Sumber : Utusan online