Sultan Pahang lancar MyGift UMP

Sultan Ahmad Shah menyaksikan Hilmey Mohd. Taib (kanan) menyampaikan

Sultan Ahmad Shah menyaksikan Hilmey Mohd. Taib (kanan) menyampaikan dana sumbangan tabung MyGift kepada Tengku Abdullah dalam Majlis Pelancaran Mygift UMP sambil diperhatikan Adnan Yaakob, Idris Jusoh dan Daing Nasir Ibrahim di Kuala Lumpur, kelmarin

KUALA LUMPUR 2 Okt. – Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah melancarkan program inisiatif saluran sumbangan Universiti Malaysia Pahang (UMP), MyGift UMP di sebuah hotel di sini malam tadi.

Program MyGift diperkenalkan UMP sebagai inisiatif saluran sumbangan bagi tujuan tajaan pelajaran dan penyediaan kemudahan prasarana untuk meningkatkan mutu pembelajaran sedia ada.

Kewujudannya merupakan satu kemudahan kepada warga kampus dan alumni UMP serta pihak luar terutama industri dan syarikat untuk menyumbang kepada tabung endowmen universiti berkenaan.

Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, sejak dimulakan tahun lalu, sebanyak RM13 juta telah dikumpulkan hasil sumbangan 21 penyumbang membabitkan pihak jabatan, korporat dan industri.

Katanya, inisiatif MyGift me­rupakan respons strategik UMP terhadap seruan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk mene­roka prospek endowmen dan wakaf pendidikan tinggi secara lebih intensif dengan kerjasama agensi awam, organisasi korporat dan Majlis Agama Islam di negeri-negeri.

“Sumbangan sebegini akan ‘mengembalikan wang’ ke da­lam bentuk biasiswa dan bantuan kepada pelajar dan membantu untuk menjayakan kegiatan yang dijalankan oleh pihak universiti.

“Alhamdulillah dana terkum­pul kini telah berupaya diman­faatkan untuk Endowmen Biasiswa Pelajar bernilai RM400,000 kepada 11 penerima buat julung kalinya dan juga pemberian Insentif Pendidikan sebanyak RM1,000 kepada mahasiswa UMP yang kurang berkemampuan,” katanya dalam ucapan aluan dalam majlis pelancaran itu.

Yang turut berangkat Sulta­nah Pahang, Sultanah Hajah Kalsom; Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Turut hadir dalam majlis itu Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dan Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Datuk Seri Hilmey Mohd. Taib.

– Sumber : Utusan online

Advertisements
%d bloggers like this: