Sediakan dana bantu pelajar Mesir dalam Bajet 2017 – Perkasa

PARIT 3 Okt. – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa kerajaan menyediakan dana khas berjumlah RM10 juta dalam Bajet 2017 yang akan dibentangkan pada 21 Oktober ini bagi menyelesaikan hutang yuran pengajian 150 pelajar perubatan, pergigian dan farmasi di Mesir.

Ibrahim Ali

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, jumlah hutang yuran pengajian pelajar terbabit hanya berjumlah RM4.5 juta dan itu bukanlah satu jumlah yang besar untuk dibantu.

“Kerajaan secara khusus diminta supaya memperuntukkan dana khas untuk menyelesaikan masalah pelajar-pelajar Mesir yang tidak mampu membayar yuran. Mereka ini ada 150 orang kesemuanya.

“Kos hutang itu berjumlah RM4.5 juta dan kemungkinan ada sedikit (penambahan) pada tahun depan dan dana sebanyak RM10 juta ini akan bantu selesaikan masalah,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis perjumpaan tertutup Presiden Perkasa bersama 24 pengerusi Perkasa Parlimen, di sini hari ini.

Yang turut hadir Yang Dipertua Perkasa Perak, Md. Yusuf Alang Ahmad dan Setiausahanya, Norhazamin Muhammad Yusof.

Sekumpulan pelajar Malaysia persendirian di Mesir sejak Ogos lalu terpaksa melancarkan Projek Hope selepas mereka dibebani dengan masalah hutang pengajian dan kini berdepan risiko disingkirkan daripada universiti, walaupun sudah berada di tahun tiga.

Tanpa sebarang tajaan serta biasiswa, 150 pelajar yang me­nuntut di lapan buah universiti di Mesir itu terpaksa bergantung sepenuhnya kepada keluarga untuk membayar yuran pengajian berjumlah AS$8,000 (RM33,000) setahun, tetapi malangnya dise­babkan masalah kewangan, kos tersebut tidak mampu disediakan.

Dalam perkembangan sama beliau berkata, adalah amat memalukan jika bantuan terhadap kesemua pelajar terlibat hanya diperoleh melalui kaedah derma daripada orang ramai.

“Janganlah pula kita selesaikan masalah pelajar Mesir ini de­ngan kutipan derma. Kutip derma ini pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pun boleh lakukan untuk meringankan beban dan membantu sara hidup mereka.

“Mereka ini adalah pelajar bidang perubatan, pergigian dan farmasi di universiti yang diiktiraf oleh kerajaan. Ini masalah pembiayaan pelajar dan ada kena mengena dengan hak kaum bumiputera, jadi kerajaan perlu buktikan yang mereka ambil berat terhadap pelajar-pelajar bumiputera ini dengan membantu mereka,” katanya.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: