MyGift UMP dilancar di ibu negara hari ini

KUANTAN 30 Sept. – Program MyGift yang diperkenalkan Universiti Malaysia Pahang (UMP) sebagai inisiatif saluran sumbangan endowmen universiti berkenaan bagi tujuan tajaan pelajaran dan penyediaan kemudahan prasarana kepada penuntut akan dilancarkan di ibu negara, esok.

DAING NASIR IBRAHIM

Majlis pelancaran MyGift UMP dan pengurniaan biasiswa universiti berkenaan dijadual disempurnakan oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah di Hotel Mandarin Oriental.

Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, program MyGift UMP diperkenalkan sebagai kemudahan kepada warga kampus dan alumninya serta pihak luar terutama industri dan syarikat untuk menyumbang kepada tabung endowmen universiti berkenaan.

“Menerusi pendekatan ‘kebaikan itu bermula daripada diri kita sendiri’, sumbangan pada awalnya memfokuskan usaha di peringkat jabatan dan fakulti sendiri.

“Hasilnya sebanyak RM1.8 juta berjaya dikumpulkan bagi manfaat pelajar. Usaha ini diteruskan dengan memperluas pengumpulan dana hasil kerjasama pihak industri dan tokoh korporat dengan sasaran nilai endowmen sebanyak RM40 juta menjelang tahun 2020,” katanya di sini hari ini.

Inisiatif itu merangkumi 10 jenis endowmen dan tabungan iaitu Endowmen Kursi, Endowmen Biasiswa Pelajar, Endowmen Makmal/Kemudahan dan Endowmen Kecemerlangan ma­nakala tabungan lain adalah Tabung Ramadan, Tabung Masjid, Tabung Bencana, Tabung Wakaf, Tabung Komuniti serta Tabung Prasarana.

Menurut Daing Nasir, realiti ekonomi semasa dan komitmen kewangan serta status autonomi yang dimiliki UMP menjadi antara faktor institusi pengajian tinggi tersebut melaksanakan inisia­tif MyGift sebagai nadi pertumbuhan endowmen secara pro­aktif.

Malah, kata beliau, Kementerian Pendidikan Tinggi turut meminta semua universiti awam meneroka prospek endowmen seoptimum mungkin bagi me­ngurangkan kebergantungan kewangan mereka kepada sumber kerajaan.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, buat pertama kalinya, Lembaga Pemegang Amanah MyGift bersetuju meluluskan skim tajaan biasiswa sebanyak RM400,000 kepada mahasiswa baharu yang mempunyai latar belakang keluarga miskin tetapi memiliki keputusan yang cemerlang untuk meneruskan pengajian di UMP.

“Satu skim bantuan insentif pendidikan bernilai RM1,000 bagi seorang mahasiswa diluluskan bagi manfaat 10 mahasiswa baharu yang menghadapi masalah kewangan,” ujarnya.

Tambah beliau, sempena pe­lancaran MyGift UMP dan pe­ngurniaan biasiswanya, universiti berkenaan menganjurkan pro­gram sukan sambil beramal melalui Kejohanan Golf Amal baru-baru ini yang berjaya mengumpulkan lebih RM500,000.

“Bagi program larian amal UMP Splash Run ‘16 pula, sebanyak RM10,000 berjaya dikumpulkan hasil kutipan yang disumbangkan untuk kebajikan penuntut UMP,” katanya.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: