Inovasi penanda aras baharu prestasi pendidikan global

Foziah Buang (empat  dari kiri) dan Kolonel Wan Ghazali Wan Din

Foziah Buang (empat dari kiri) dan Kolonel Wan Ghazali Wan Din (dua dari kanan) bersama dengan warga SK Taman Koperasi Polis Batu Cave menunjukkan tanda bagus selepas melihat produk inovasi mereka mengenai projek Power Pipe dalam Karnival Inovasi Peringkat Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2016 di MTD Sungai Besi, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Aktiviti inovasi perlu dijadikan budaya dalam kalangan pelajar dan guru supaya kita dapat berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Foziah Buang berkata, membudayakan inovasi dan kreativiti secara terancang oleh guru-guru amat diperlukan bagi menggalakkan pelajar mencipta sesuatu yang bukan sahaja baharu tetapi unik dan bermanfaat.

“Hal ini kerana inovasi adalah penanda aras baharu global dan diharap dengan membudayakannya akan membawa negara kita menjadi antara negara yang paling inovatif di dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian keti­ka merasmikan Karnival Inovasi peringkat Jabatan Pendidikan Wi­layah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) 2016 di Maktab Tentera Diraja (MTD), Kem Sungai Besi, baru-baru ini.

Yang turut hadir ialah Komandan MTD, Kolonel Wan Ghazali Wan Din, Ketua Sektor Pengurusan Akademik JPWPKL, Zainun Ahmad dan Pengarah Pengajian MTD, Razmi Abdul Razak.

Sebanyak 302 buah sekolah rendah dan menengah sekitar Kuala Lumpur menyertai karnival itu.

Sepuluh kertas kerja dibentangkan antaranya Indahnya Matematik, Amalan Terbaik Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Matematik, English Is Fun, pelaksanaan intervensi dalam menangani isu penulisan objektif pengajaran, ino­vasi dalam PdP perdagangan dan Teaching Maths is Fun.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: