ILC 2016 platform lahir
pemimpin bertaraf antarabangsa

Salleh Ismail (lima dari kiri) bersama dengan pentadbir dan guru

Salleh Ismail (lima dari kiri) bersama dengan pentadbir dan guru dari sekolah antarabangsa dan tempatan yang mengambil bahagian dalam Diskusi Intelektual Pemimpin Global sempena ILC 2016 di SBP Integrasi Gombak, Selangor, baru-baru ini.

Dengan matlamat melahirkan warga dan pemimpin yang bersifat global, Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Integrasi Gombak buat kali kedua menganjurkan program Hubungan Komuniti Antarabangsa (International Linkage Community, ILC) 2016 di sekolah itu di Gombak, Selangor, baru-baru ini.

Pengetua SBP Integrasi Gombak, Salleh Ismail berkata, ILC 2016 menyediakan platform untuk pentadbir, guru dan pelajar sekolah yang terlibat saling bertukar idea, berkongsi pengetahuan dan amalan terbaik dalam bidang pendidikan, pentadbiran, pembangunan akademik serta kepimpinan global.

“Program ini memberi tumpuan dalam memupuk inte­griti, kepimpinan dan budaya dari negara berbeza kepada peserta program tanpa mengira warganegara, agama dan bangsa,” katanya ketika ditemui selepas sesi Diskusi Intelektual Pe­mimpin Glo­bal sempena ILC 2016 baru-baru ini.

Dalam sesi perbincangan ini, pentadbir sekolah yang menyertai ILC 2016 dari Malaysia, Jepun, Filipina, Indonesia dan Thailand membentangkan amalan terbaik mereka dalam melonjakkan pres­tasi sekolah masing-masing.

Guru Penolong Kanan Kokurikulum SBP Integrasi Gombak, Sarimah Samuri membentangkan program penggunaan iPAD dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan semua pelajar tingkatan satu 2016.

Sekolah yang menyertai ILC 2016 ialah Hiroshima Perfectural Itsukaichi Senior High School, Jepun; King’s College, Thailand, Pag-Asa National High School, Filipina; SMP Tunas Unggul, Bandung dan Sekolah Menengah Cikal, Jakarta, Indonesia.

Empat SBP Zon Tengah turut mengambil bahagian iaitu Sekolah Seri Puteri, SBP Integrasi Rawang, Kolej Islam Sultan Alam Shah dan Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang.

Sementara itu, Pengetua Pag-Asa National High School, Jere­my A. Cruz berkata, ILC 2016 berlangsung tepat pada masanya untuk membuat penanda aras amalan terbaik di peringkat antarabangsa khususnya Asia yang membabitkan negara berbeza.

“Hal ini penting bagi menambah baik pendidikan dan me­lon­jakkan pencapaian akademik masing-masing,” katanya.

Bagi Pengetua Sekolah Menengah Cikal, Ranny Kartabrata, ILC menjadi medan untuk membentuk jaringan rangkaian pendidikan antarabangsa.

“Misalnya, selepas ILC tahun lalu, sekolah kami berkunjung ke sekolah di Korea Selatan yang turut menyertai program ini dan pada penghujung tahun nanti kami merancang melawat ke sekolah di Jepun pula,” ujarnya.

Pelajar yang menyertai ILC men­dapat sijil pengiktirafan an­tarabangsa.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: