16 kes keracunan makanan dilaporkan Libatkan beberapa sekolah dari Januari hingga Ogos

AYUB RAHMAT (lima dari kiri) beramah mesra dengan pemenang dalam

AYUB RAHMAT (lima dari kiri) beramah mesra dengan pemenang dalam majlis Anugerah Kantin Bersih, Selamat dan Sihat 2016 peringkat negeri di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, Johor Bahru, semalam. Utusan/NUR AISYAH MAZALAN

JOHOR BAHRU 3 Okt. – Jabatan Kesihatan negeri menerima sebanyak 16 kes keracunan makanan membabitkan beberapa sekolah di negeri ini bagi tempoh Januari hingga Ogos lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, jumlah berkenaan meningkat berbanding hanya tujuh kes sepanjang tahun lalu dan 13 kes pada 2014.

“Kebanyakkan kes keracunan di sekolah berlaku apabila ada sesebuah majlis dianjurkan yang melibatkan kerja-kerja gotong-royong secara beramai-ramai bagi penyediaan makanan.

“Kebiasaannya melibatkan pengusaha kantin dan pe­ngendali makanan dari luar termasuk masyarakat setempat yang mana ia adalah di luar kawalan pihak kami,” katanya selepas merasmikan dan me­­n­yampaikan hadiah dalam majlis Anugerah Kantin Bersih, Selamat dan Sihat 2016 peringkat negeri di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Rooshaimi A. Rahim Merican.

Bagi kategori kantin sekolah bandar, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Puteri, Batu Pahat muncul juara; SK Batu 2, Kluang (tempat kedua), SK Buloh Kasap, Segamat (tempat ketiga) manakala bagi kategori kantin sekolah luar bandar, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chian Kuo, Tangkak (juara), SK Seri Jong (tempat kedua) dan SK Seri Sekawan Desa, Pontian (tempat ketiga).

Johan bagi setiap kategori membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM600, sijil dan plak; tempat kedua memena­ngi wang tunai RM500, sijil dan plak manakala tempat ketiga pula wang tunai RM400, sijil dan plak.

Ayub berkata, apabila berlaku kes keracunan makanan di sekolah, kantin sekolah ber­kenaan akan ditutup selama dua minggu bagi membolehkan siasatan berhubung punca kejadian diperoleh.

Bagaimanapun, katanya, tindakan ke atas pengusaha kantin sekiranya terbukti kejadian berpunca daripada kecuaian mereka adalah di bawah kuasa Jabatan Pendidikan negeri.

“Oleh itu, saya berharap peng­usaha kantin terus mempertingkatkan aspek kebersihan makanan dengan melakukan pemeriksaan sendiri di dapur asrama dan kantin sekolah secara berterusan,” katanya.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: