Selamatkan pelajar Malaysia di Mesir

IBU bapa mana yang tidak bimbang apabila dimaklumkan anak mereka tidak boleh meneruskan pengajian kerana gagal melunaskan yuran disebabkan masalah kewangan. Apatah lagi situasi itu berlaku di Mesir, sebuah negara yang jauh dari bumi Malaysia.

Itu bab mengaji. Bagaimana pula kehidupan se­harian mereka? Bagaimana makan minum mereka? Yang pasti mereka kini berhadapan dengan masalah kesempitan wang. Jika pelajar lelaki, mereka mungkin boleh melakukan kerja-kerja sampingan namun sekiranya pelajar wanita, sudah tentu sukar untuk melakukan perkara yang sama atas pelbagai faktor terutama keselamatan.

Sesiapa yang pernah tinggal di Mesir khususnya di Kaherah tentu lebih maklum keadaan sebenar negara itu berbanding negara kita. Sehubungan itu, isu kegagalan melunaskan yuran pengajian melibatkan 150 pelajar kita di sana perlu diselesaikan segera.

Jika tidak, berkemungkinan besar kesemua yang sedang mengikuti jurusan sains kesihatan (perubatan, pergigian dan farmasi) di negara berkenaan akan disingkirkan ­daripada pengajian.

Secara keseluruhan hutang pengajian mereka dengan pihak universiti adalah sebanyak RM4.5 juta, melibatkan lapan buah universiti kesemuanya. Menurut Presiden Pertubuhan Kebangsaan Ibu Bapa dan Mahasiswa Perubatan Mesir (Muafakat Mesir), Safian Taiyib baru-baru ini masalah itu bermula apabila Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Maj­lis Amanah Rakyat (Mara) dan agensi-agensi kerajaan lain membekukan penajaan dan pinjaman kepada pelajar persendirian sejak 2013.

Itu yang menyebabkan mereka bergantung sepenuhnya kepada pemberian ibu bapa sejak tahun tersebut. Malang­nya, bukan semua ibu bapa mampu melunaskan bayaran sebanyak AS$8,000 (RM33,000) setahun kerana rata-rata­nya berpendapatan rendah.

Mustahil ibu bapa terlibat dapat menyediakan wang sebanyak itu. Isunya sekarang , bukan anak mereka tidak pandai tetapi semuanya disebabkan oleh kekangan kewang­an. Berdasarkan maklumat mahasiswa yang melanjutkan pe­ngajian dalam jurusan sains kesihatan di Mesir bukan calang-calang sebaliknya dalam kalangan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Malah mereka juga dikatakan berjaya memperoleh keputusan yang baik setiap kali peperiksaan dijalankan di universiti. Sehubungan itu, langkah Kementerian Pendidikan Tinggi melancarkan Tabung Pelajar Mesir wajar diberikan sokongan sepenuhnya oleh semua pihak. Langkah kementerian menghantar rombongan ke Mesir turut dialu-alukan dalam usaha mengenal pasti masalah yang berlaku.

Dalam pada itu, sumbangan daripada badan-badan korporat, agensi, badan berkanun, syarikat persendirian, yayasan, baitulmal termasuk individu amatlah diharapkan supaya sasaran jumlah yang diperlukan iaitu RM4.5 juta tercapai.

Penulis sendiri memohon kepada semua badan korporat dan agensi terutama berkaitan dengan Islam seperti Bank Islam, Bank Muamalat, Tabung Haji, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) dan baitulmal setiap negeri tampil memenuhkan dana tersebut sekali gus dapat disalurkan terus kepada semua pelajar terlibat.

Apalah sangat RM4.5 juta jika hendak dibandingkan jumlah keuntungan yang dicatat saban tahun. Begitu juga dengan Yapeim, tujuan penubuhannya adalah untuk membantu umat Islam dalam perkara kebajikan, tidak terkecuali baitulmal. Umat Islam secara individu juga disaran me­lakukan tindakan serupa. Tambahan pula 150 orang pelajar tersebut adalah golongan asnaf zakat yang wajib dibantu. Selain tabung itu, pelajar-pelajar kita di Mesir juga telah mewujudkan satu dana khas yang dinamakan sebagai Projek Hope. Setakat ini difahamkan dana yang terkumpul baru mencecah RM10,000.

Tidak terkecuali inisiatif Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) yang akan melancarkan Tabung Pelajar Mesir awal Oktober ini. Inilah masanya semua umat Islam di negara ini menunjukkan satu solidariti yang jitu bagi memastikan 150 pelajar kita di Mesir ini berjaya menamatkan pengajian dalam jurusan masing-masing. Segala sumbang­an hanya Allah sahaja yang membalasnya.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: