Cari mekanisme selesaikan isu PTPTN

KUALA LUMPUR 29 Sept. – Kementerian Pen­didikan Tinggi akan mencari mekanisme tersendiri untuk menyelesaikan masalah berkaitan Perbadanan Ta­bung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

IDRIS JUSOH

Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, sistem pengurusan sedia ada yang digunakan PTPTN baik tetapi mungkin perlu dinaik taraf bagi memudahkan urusan kutipan semula hutang pinjaman daripada peminjam.

“Oleh itu, kita menggunakan mekanisme tersendiri iaitu peminjam boleh menghantar aduan kepada saya sendiri menerusi e-mel dan laman sosial Facebook. Buat masa ini, saya menerima 140 aduan daripada Facebook dan 30 aduan (e-mel).

“Saya akan meneliti aduan ini semula dan mengadakan per­bincangan secara peribadi de­ngan pi­hak pengurusan PTPTN. Bagaimanapun, kebanyakan aduan yang diterima berpunca daripada masalah salah faham maklumat daripada peminjam,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Kepemimpinan Ma­hasiswa Institut Pengajian Ting­gi Swasta (IPTS) 2016 di Kolej Teknologi dan Kesenian HELP, di sini hari ini.

Baru-baru ini, Idris memberi amaran keras kepada pihak PTPTN agar tidak menganiayai mana-mana peminjam dalam usaha mengutip semula hutang pinjaman daripada peminjam.

Bagaimanapun, PTPTN dalam kenyataannya berkata, pihaknya sentiasa membuka ruang run­dingan kepada semua peminjam yang mempunyai masalah dalam membuat bayaran balik.

Semalam perbadanan itu menjelaskan peminjam atau ibu bapa pe­min­jam (ahli akaun) dibenarkan membuat pengeluaran Aka­un II Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk tujuan bayaran balik pinjaman.

Terdahulu, kira-kira 200 mahasiswa terdiri dari 18 buah universiti swasta hadir ke seminar tersebut bagi membincangkan isu-isu berkaitan kepimpinan dalam kehidupan sebagai mahasiswa.

Dalam pada itu, mengulas mengenai pelajar Malaysia di Universiti Institut Teknologi (IUT) di Rouen, Perancis, Idris berkata, perkara itu di bawah bidang kuasa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Berhubung kes pelajar yang dikhuatiri hilang merupakan pemegang biasiswa JPA dan bukannya di bawah kementerian saya. Oleh itu, boleh bertanya kepada JPA,” katanya.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: