Usaha PIBG, sekolah tingkatkan keselamatan murid sekolah

KUALA LUMPUR 28 Sept. – Ketika negara digemparkan dengan pelbagai kes melibatkan murid sekolah, usaha dan inisiatif berterusan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Pandan dan SK Setiawangsa dekat sini mampu menjamin kese­lamatan murid sekolah.

Tindakan PIBG di kedua-dua buah sekolah berkenaan harus dijadikan teladan kerana usaha mereka dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai kumpu­lan sokongan sekolah berjaya­ membantu mening­katkan kesedaran tentang keselamatan murid.

Yang Dipertua PIBG SK Desa Pandan, Faizal Mohammad Arshad berkata, kewujudan Skuad Pejuang Kecil yang ditubuhkan sejak 2014 membantu ibu bapa mendapatkan informasi dan aktiviti berkaitan akademik, kese­lamatan sekolah, kebersihan, infrastruktur serta sokongan terhadap perkara lain.

Katanya, skuad itu terdiri daripada 31 wakil ibu bapa dari setiap kelas yang bertindak sebagai ke­tua bagi melaporkan sebarang aktiviti melibatkan murid.

“Kami juga mewujudkan semangat sukarelawan yang tinggi dalam kalangan ibu bapa terutama dari segi keselamatan dengan mereka sendiri akan mengawal lalu lintas pada waktu puncak.

“Kerjasama erat dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menaik taraf kawasan luar sekolah seperti membina bonggol jalan dan pagar juga antara langkah proaktif PIBG meminimumkan risiko kemalangan dan kejadian tidak diingini di sekolah ini,” katanya ketika ditemui di SK Desa Pandan hari ini.

Dalam pada itu, Guru Besar SK Desa Pandan, Maheran Abd. Halim berkata, sikap prihatin terhadap keselamatan murid juga diterapkan dalam kalangan guru-guru sekolah berkenaan.

“Guru waktu terakhir, guru kaunseling dan pentadbir iaitu Guru Besar serta Guru Penolong Kanan akan mengiringi murid-murid sehingga ke pintu pagar sekolah bagi memastikan kese­lamatan murid selaras dengan dasar kementerian melalui Amalan Guru Penyayang sejak hampir tiga tahun lalu,” ujarnya.

Sementara itu, di SK Setiawangsa, Guru Besar sekolah berkenaan, Datin Siti Rokiah Salleh berkata, stigma ibu bapa terpaksa membayar lebih untuk mendapatkan perkhidmatan keselamatan bagi anak-anak perlu diketepikan, apalagi ia berkaitan risiko culik serta kemalangan maut.

Katanya, kerjasama dan sokongan PIBG yang mampan membantu pihak sekolah untuk mendapatkan perkhidmatan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dengan kos hanya serendah 80 sen sebulan bagi setiap murid.

“Daripada menuding jari kepada pihak berkaitan, ada baiknya jika PIBG sekolah lain mengambil langkah agresif mengu­pah anggota Rela bagi memantau kese­lamatan murid.

“Saya percaya, majoriti ibu bapa tidak berkira dengan yuran tahunan tambahan untuk kese­lamatan anak-anak, malah ada yang bertanya sama ada perlu ditingkatkan untuk memperbaiki beberapa kelemahan lain bagi mengurangkan risiko,” katanya.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: