TVET bukan lagi pilihan terakhir

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada majlis Multaqa Ekonomi Majlis Perundingan Islam (MPI) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. – Foto BERNAMA Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama para mufti dan ulama pada majlis Multaqa Ekonomi Majlis Perundingan Islam (MPI) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. – Foto BERNAMA «»

PUTRAJAYA: Bidang Latihan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET) bukan lagi pilihan terakhir, sebaliknya semakin mendapat pengiktirafan masyarakat dunia kerana kepentingannya terhadap pembangunan ekonomi negara. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata TVET membantu individu membangunkan kemahiran yang diperlukan untuk pekerjaan, pemilihan kerjaya sesuai dan keusahawanan. Katanya, dengan menyediakan kemahiran yang penting melalui program TVET, negara bukan saja menyediakan belia untuk pasaran buruh tetapi juga modal insan untuk pembangunan negara. “Pemerkasaan bidang TVET mampu memenuhi pelbagai tuntutan ekonomi, sosial dan alam sekitar, sekali gus menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang adil, inklusif dan mampan. “Selama ini, TVET dianggap sebagai pilihan terakhir dalam pendidikan dan pilihan kerjaya disebabkan persepsi orang ramai kursus itu adalah bagi mereka yang tidak cemerlang dalam akademik. “Namun, persepsi ini semakin terhakis kerana banyak kerajaan di seluruh dunia sedang mengiktiraf kepentingan pemerkasaan bidang TVET,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Pertandingan Kemahiran ASEAN (ASC) 2016 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini, hari ini.

Sumber: Berita Harian