Rosmah lawat sekolah kanak-kanak autisme di Berlin

ISTERI Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor melawat Schule am Friedrichshain, sekolah khas kanak-kanak autisme di Berlin, semalam. – Foto BERNAMA

BERLIN: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor melawat Schule am Friedrichshain, sekolah khas kanak-kanak autisme di Berlin, semalam. Sekolah itu menawarkan beberapa bentuk pendidikan khas untuk kanak-kanak berkenaan dengan sokongan pembantu tenaga pengajar. Ia juga menawarkan kelayakan vokasional khas untuk belia autisme dalam bidang seperti seni pertukangan kayu, membersihkan tekstil dan ekonomi rumah tangga, masakan dan berkebun, menurut satu kenyataan. “Senat Pendidikan, Belia dan Wanita Berlin mencadangkan lawatan itu,” katanya. Rosmah berkata, ia dapat membantu menambah baik program Kurnia PERMATA Malaysia bagi kanak-kanak autisme. Beliau yang mengiringi Datuk Seri Najib Razak dalam rangka lawatan rasmi ke Jerman ialah penaung Program PERMATA yang diasaskan di Malaysia pada 2007. Program PERMATA ditawarkan kepada kanak-kanak dan remaja dari semua lapisan masyarakat. Objektifnya menyediakan platform untuk mencungkil potensi dan mengasah bakat dalam usaha memacu pertumbuhan negara dan membimbing generasi cemerlang yang boleh menjadi kebanggaan Malaysia. – BERNAMA

Sumber: Berita Harian