MPI cadang Forum Media Kebangsaan seluruh negara

KUALA LUMPUR 28 Sept. – Institut Akhbar Malaysia (MPI) bercadang meluaskan penganjuran Forum Media Kebangsaan di seluruh negara pada masa akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Chamil Wariya berkata, program tahunan tersebut akan diperluaskan menerusi kerjasama dengan pusat-pusat pengajian kewartawanan, media serta komunikasi universiti awam lain di seluruh negara.

“Pada tahun depan mungkin kita akan mengadakan forum ini di Universiti Sains Malaysia (USM) dan kemudian ke Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) agar kita dapat menarik panda­ngan baharu untuk membincangkan isu ke­wartawanan.

“Langkah ini dapat memastikan program ini benar-benar ber­taraf kebangsaan dalam erti kata ia akan bergerak ke segenap pelosok tanah air,” katanya ketika berucap dalam Forum Media Kebangsaan 2016 bertemakan Halatuju Dan Masa Depan Kewartawanan di Malaysia di sini hari ini.

Program kali ketiga anjuran MPI dengan kerjasama Institut Pengajian Kewartawanan Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu telah dimulakan sejak tahun 2014.

Selain forum, Pameran 50 Tahun Penubuhan MPI yang memaparkan dokumen, keratan akhbar dan foto penting berkaitan MPI turut diadakan.

Mengulas lanjut, Chamil berkata, topik-topik yang dibincangkan dalam forum tersebut amat relevan dengan situasi kewartawanan dan media di negara ini.

Beliau menambah, penganjuran forum pada tahun ini juga lebih istimewa kerana diadakan bersempena ulang tahun ke-50 MPI yang ditubuhkan pada tahun 1966.

“Kita berharap forum ini dapat memberikan pandangan untuk mengusulkan penambahbaikan dalam bidang media dan ke­wartawanan kepada pihak kerajaan,” jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Pembangunan) Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Dr. Adnan Hussein menyarankan pengamal media tempatan supaya mendukung aspirasi negara supaya dapat menangkis agenda serta pengaruh negatif daripada laporan berita media antarabangsa.

Menurut Adnan, langkah itu perlu kerana agenda utama media antarabangsa adalah mempromosi dan memperjuangkan ideologi Zionis.

Beliau berkata, perkara itu jelas melalui pelbagai dokumen yang menunjukkan penglibatan aktif Israel bagi membentuk ideologi Zionis dalam kalangan media antarabangsa khususnya di Amerika Syarikat (AS).

Adnan juga percaya terdapat beberapa golongan yang akan beranggapan beliau merupakan anti-Semitik tetapi itulah hakikatnya apabila media antarabangsa tidak putus asa berusaha mempengaruhi pemikiran masyarakat AS mengenai ideologi Zionis.

“Kita tidak menentang ke­se­mua laporan media antarabangsa, tetapi terdapat beberapa berita dari luar negara gagal melaporkan perkara atau situasi secara telus kerana mereka mempunyai ideologi tertentu yang perlu didukung.

“Dalam hal ini jelas dapat dilihat laporan berita mengenai Perang Iraq, apabila pengamal media barat diberi keterangan mengenai strategi peperangan tersebut namun selepas berakhirnya konflik tersebut mereka menyedari telah dipergunakan untuk mempromosi agenda Zio­nis,” katanya.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: