Tutor dalam talian: Anak anda sudah berdaftar?

KEJAYAAN sektor pendidikan dalam talian di negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat telah mendorong pelbagai pihak di negara ini untuk cuba membawa kaedah yang sama ke rantau Asia Tenggara.

Semenjak beberapa tahun ini, banyak syarikat tidak kira besar mahupun kecil telah menembusi pasaran Malaysia dengan menyediakan portal-portal yang berbentuk tutorial untuk kemudahan para pelajar sekolah rendah, menengah mahupun para profesional.

Tanpa perlu berbelanja lebih dengan memanggil guru ke rumah atau bersusah-payah keluar dari rumah ke pusat tuisyen berhampiran, anda kini mempunyai tutor persendirian untuk anak-anak anda.

Apa yang mereka perlu lakukan ialah mempunyai kemudahan internet dan komputer, kemudian mendaftar anak-anak anda di dalam portal tersebut dan pembelajaran boleh dimulakan dengan serta-merta. Amat mudah sekali.

Dengan kelebihan ini, jenama-jenama portal ini amat yakin ia akan dapat menarik ibu bapa untuk mendaftarkan anak mereka dan juga para profesional untuk mendaftar diri demi memajukan karier mereka.

Pelbagai bentuk pemasaran dilakukan oleh jenama-jenama portal bagi menarik perhatian para pengguna dan secara langsung ingin menjadikan mereka sebagai pelanggan berbayar mereka.

Dengan poster-poster menarik, promosi melalui Facebook, tidak kurang juga yang menggunakan video pendek untuk Instagram, membeli ruangan iklan di akhbar-akhbar tempatan, di radio dan televisyen serta menyediakan infografik-infografik menarik, portal-portal ini menggunakan semua bentuk pemasaran dengan efektif sekali dalam menarik perhatian pasaran.

Walaupun kos membuat kandungan-kandungan seperti ini dan juga pengedarannya tidak murah, tetapi ia perlu dibuat.

Namun, sebaliknya berlaku. Secara realiti, tidak ramai yang yakin dengan kaedah pembelajaran secara dalam talian ini. Ibu bapa di bandar terutamanya yang sering menjadi pengguna tegar untuk apa sahaja aplikasi dalam talian juga kurang yakin untuk mendaftarkan anak-anak mereka.

Apatah lagi dengan pengguna luar bandar. Faktor yuran bulanan yang murah dan kemudahan-kemudahan lain yang disediakan juga seolah-olah tidak dapat meyakinkan mereka. Kenapa ini berlaku?

n Budaya

Faktor budaya tradisional kita yang masih menebal. Dahulu industri perbankan dalam talian, dua tahun pertama ia diperkenalkan tidak begitu ramai orang yang yakin untuk menggunakannya.

Kini hampir semua orang menggunakan aplikasi perbankan yang ada di dalam telefon pintar masing-masing. Malah kini ke mesin ATM juga jarang-jarang. Industri pendidikan dalam talian juga memerlukan masa untuk ia serasi dengan budaya tempatan.

Kepada para jenama portal ini, anda hanya perlu teruskan aktiviti-aktiviti pemasaran digital anda. Pastikan promosi-promosi anda sampai kepada sasaran pasaran dan bukan orang lain. Kepada para pengguna yang lebih awal menggunakan kemudahan tutor dalam talian ini, ia pasti akan menguntungkan anda dan juga anak-anak anda.

n Tiada Cerita

Hampir kesemua portal-portal tutor dalam talian ini tidak mempunyai blog. Apabila portal anda tiada cerita yang mampu lebih meyakinkan pengguna, kitaran untuk meyakinkan mereka akan menjadi lebih panjang dan rumit.

Selain faktor budaya, mungkin ini juga menjadi salah satu punca utama mengapa tidak ramai lagi orang yang datang dan menjadi pelanggan berbayar portal anda.

n Berita Berkala atau Newsletter

Minda manusia perlu diingatkan dari masa ke semasa sekiranya anda mahu mereka ingatkan jenama anda. Sebab itulah anda akan ingat AirAsia apabila ingin bercuti kerana mereka mahu anda ingatkan tambang murah mereka (walaupun sebenarnya tidaklah semurah mana).

Anda akan sentiasa berjumpa dengan promosi-promosi mereka di mana sahaja anda berada tidak kira di internet ataupun ketika memandu. Tapi elemen sebenar di mana mereka ‘membasuh otak’ para pengguna ialah di e-mel. Mereka menggunakan pemasaran e-mel yang juga dikenali sebagai berita berkala yang dihantar setiap minggu ke semua pengikut mereka.

Jadi untuk membasuh minda para pengguna setiap minggu, anda perlu gunakan cara yang sama untuk portal tutor dalam talian anda. Tahun lalu, anak saya menggunakan portal Tutor Utusan Malaysia untuk ulangkaji setiap subjek pembelajaran bagi menghadapi peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Saya amat mengesyorkan Tutor Utusan Malaysia untuk ini dan juga portal Home Tutor oleh Dasar Jati kerana bukan sahaja murah tetapi amat efektif.

Saya akui pada mulanya saya kurang yakin dengan kaedah ini, namun saya teruskan juga niat saya untuk daftarkan anak saya dengan portal-portal ini. Dan apabila keputusan UPSR keluar ternyata saya bersyukur dengan pilihan saya.

AZLEEN ABDUL RAHIM adalah Pakar Pemasaran Digital. Ikuti blog beliau di facebook.com/azleenabdrahim

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: