Kolej Komuniti Jelebu juara

Noorul Ainur Mohd. Nur (tengah) bersama peserta pada majlis perasmian

Noorul Ainur Mohd. Nur (tengah) bersama peserta pada majlis perasmian Perisa di Kolej Komuniti Temerloh, Pahang, baru-baru ini.

TEMERLOH 27 Sept. – Kejayaan Kolej Komuniti Jelebu menemui kaedah penghasilan telur pindang dalam masa lima jam berbanding kebiasaan lima hari berjaya memikat hati juri apabila Kolej Komuniti berkenaan dinobatkan sebagai Johan Kategori Makanan dan Minuman dalam Pertandingan Inovasi Pensyarah Kolej Komuniti (Perisa) 2016 yang diadakan di Kolej Komuniti Temerloh di sini, baru-baru ini.

Pada pertandingan kali kedua itu, Kolej Komuniti Jelebu, Negeri Sembilan yang disertai tiga pensyarah iaitu Sazaliana Sapian, 31, Jalifa Ridzuan, 32, dan Izwan Kamal Abdul Wahab, 38, berjaya menewaskan 17 peserta lain dalam kategori makanan dan minuman.

Sazaliana berkata, kejayaan tersebut merupakan hasil usaha keras daripada semua ahli pasu­kan yang bertungkus lumus me­la­kukan penyeldikan bagi menghasilkan inovasi berguna itu.

Katanya, penemuan kaedah penghasilan telur pindang, bu­kan­lah datang sekelip mata kera­na ia memakan masa kira-kira lapan bulan untuk mereka mela­kukan penyelidikan dan pembangunan.

“Alhamdulillah kejayaan ini amat bermakna sekali bagi kami dan diharap menjadi pendorong untuk kami dan kumpulan lain menghasilkan lebih banyak lagi inovasi yang bermanfaat pada masa akan datang.

“Kami berharap penemuan ini akan dapat dipa­tenkan dan dipasarkan bukan sahaja di pa­saran tempatan tetapi untuk pasaran antarabangsa,” katanya ketika ditemui pada majlis peras­mian Perisa yang disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Tan Sri Dr. Noorul Ainur Mohd. Nur di sini baru-baru ini.

Yang hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Kolej Komuniti, Mohd. Nasir Abd. Ghani; Pengarah Bahagian Akademik dan Pendidikan Berterusan Kolej Komuniti, Wan Izni Rashiddi Wan Mohd. Razalli; Ketua Penolong Pengarah Unit Penyelidikan dan Inovasi Kolej Komuniti, Dr. Ishak Mohamad dan Pengarah Kolej Komuniti Temerloh, Ismail Samsuddin.

Pertandingan Perisa 2016 menyaksikan Kolej Komuniti Jelebu dinobatkan Johan dalam kategori makanan dan minuman; Pengurusan dan Perkhidmatan (Kolej Komuniti Kuantan); Fesyen dan Pakaian (Kolej Komuniti Temerloh); Kejurute­raan (Kolej Komuniti Kuala Langat); Teknologi Maklumat dan Komunikasi (Kolej Komuniti Paya Besar) dan Pem­belajaran dan Pengajaran (Kolej Komuniti Hulu Selangor).

Menurut Sazaliana, melalui inovasi berkenaan, telur pindang dapat dihasilkan dalam masa yang cepat tanpa menyebabkan ia berubah dari segi rasa berbanding dengan pembuatan melalui kaedah tradisional.

Katanya, melalui kaedah itu telur berkenaan akan dimasak dengan campuran adunan serbuk 14 jenis daun berbanding kaedah tradisional yang hanya menggunakan daun yang tidak diproses.

Sementara itu, Noorul Ainur berkata, pertandingan Perisa yang mula diadakan pada tahun lalu amat signifikan dalam membentuk budaya motivasi dan menghasilkan lebih banyak produk inovasi dalam kalangan warga Kolej Komuniti.

Katanya, pertandingan Pe­risa yang melibatkan enam ka­tegori itu dilihat terus mendapat sambutan menggalakkan apabila merekodkan peningkatan jumlah penyertaan kepada 145 peserta berbanding 116 peserta tahun lalu.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: