PIBGN setuju Rela kawal lalu lintas

KUALA LUMPUR 25 Sept. – Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) menyambut baik tawaran Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menggunakan khidmat Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bagi mengawal lalu lintas di kawasan sekolah.

MOHD. ALI HASSAN

Presidennya, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Ali Hassan berkata, ia merupakan tawaran yang bagus kerana anggota Rela boleh membantu mengawal lalu lintas dan dengan pengalaman yang ada, dapat melin­dungi pelajar daripada pelbagai aspek.

“Sebelum ini kita se­ring mendengar Rela ditugaskan untuk me­ngawal lalu lintas di majlis perkahwinan. Saya yakin dengan kebolehan mereka dan sekiranya ditempatkan di kawasan sekolah, ia boleh mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.

“Cukup apa yang telah berlaku sehingga beberapa pelajar meninggal dunia dilanggar di hadapan sekolah. Saya harap bekalan anggota Rela mencukupi agar boleh menampung keperluan di setiap sekolah,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd. Ali mengulas mengenai pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengenai hasrat KDN untuk menawarkan khidmat Rela bagi mengawal laluan kenderaan berat di sekolah berikutan peningkatan kemalangan melibatkan pelajar.

Terdahulu Zahid Hamidi ketika di New York memberitahu, PIBGN boleh berbincang dengan Pengarah Rela negeri dan daerah untuk mendapatkan bantuan tersebut.

Jelas Mohd. Ali, selain bantuan Rela, pihaknya berharap KDN dapat menawarkan khidmat kawalan polis trafik agar dapat memberi kesedaran kepada pemandu yang melanggar had laju.

“Banyak pemandu tidak me­ng­en­dahkan had laju walaupun terdapat papan kenyataan had laju di kawasan tersebut. Rela tidak dapat mengeluarkan saman kepada pemandu, jika polis trafik ditugaskan di kawasan sekolah, ia lebih relevan. Mungkin Rela dan polis boleh bergilir-gilir mengawal kawasan sekolah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pusat Penyelidikan Ke­selamatan Ja­­lan Raya, Fakulti­ Keju­ruteraan, Univer­siti Putra Malaysia (UPM), Prof. Mad­ya Dr. Law Teik Hua­ berkata, antara punca berlakunya kemalangan adalah kerana pe­ningkatan jumlah kenderaan yang melalui jalan ke kawasan sekolah.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu menjalankan kajian mengenai peningkatan kemalangan di kawasan sekolah dan memastikan laluan tersebut bukan jalan utama. Lihat semula lokasi sekolah, ia sudah tidak sama dengan pelan asal kerana telah ada pembangunan baharu. Kebanyakan sekolah pada asalnya diwujudkan di laluan dalam dan bukan di laluan utama.

“Namun pembangunan yang sentiasa bertambah menyebabkan laluan kecil itu akhirnya dinaik ta­raf dan dibesarkan sehingga menjadi laluan utama. Apabila ia menjadi laluan utama, pastinya jumlah kenderaan meningkat dan memberikan risiko kepada pelajar,” katanya.

Teik Hua berkata, antara langkah yang boleh diambil adalah mewujudkan lampu isyarat pejalan kaki di hadapan kawasan sekolah untuk membantu pelajar melintas jalan raya.

– Sumber : Utusan online