MoU UTM-kolej Jepun tingkat penyelidikan

JOHOR BAHRU 26 Sept. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan National Institute of Technology Kagoshima College, Jepun melibatkan usahasama pendidikan dan penyelidikan kedua-dua negara.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UTM, Prof. D.r Ahmad Fauzi Ismail berkata, kerjasama memperluaskan bidang akademi kedua-dua pihak itu membabitkan penuntut jurusan Kejuruteraan Elektrik, Mekanikal dan Awam serta Sains Sukan UTM.

Menurutnya, bagi menjayakan hasrat tersebut penuntut UTM akan dihantar ke Jepun untuk mempelajari silibus pembe­lajaran di negara tersebut dalam tempoh masa tertentu sekali gus sebagai perkongsian pintar.

“Peluang sebegini amat berfaedah bagi penuntut mempelajari tradisi kehidupan, kebudayaan dan mendekati cara pembelajaran serta mengenal le­bih dekat lagi kehidupan mereka.

“Malah turut memberi peluang kepada penuntut UTM mempelajari inovasi yang dilakukan rakyat Jepun untuk pembangunan negara mereka sekali gus berupaya mendedahkan mereka kepada dunia sebenar mengenai keperluan industri pada masa kini.

“Penyelidikan juga akan dijalankan dan skopnya lebih kepada keempat-empat jurusan yang terlibat dalam kerjasama ini serta kepakaran reka bentuk kejuruteraan,” katanya dalam sidang akbar sempena MoU itu di Pusat La­tihan UTM, di sini hari ini.

Dalam majlis MoU berkenaan, UTM diwakili Ahmad Fauzi manakala National Institute of Technology Kagoshima College diwakili oleh Presidennya, Prof. Chohji Tetsuji.

Yang turut hadir Dekan Fakulti Kejuruteraan Awam UTM, Prof. Dr. Khairul Anuar Kassim; Pengerusi Persidangan Antarabangsa Kejuruteraan Awam Pasca Siswazah (SEPKA), Assoc Prof. Dr. Nazri Ali dan Pengerusi Simposium Antarabangsa Me­ngenai Kepakaran Reka Bentuk Kejuruteraan (ISEED) 2016, Prof. Dr. Takashi Tsutsumi.

Sementara itu, Chohji menyambut baik kerjasama tersebut serta yakin pertukaran idea itu berupaya melatih penuntut terlibat dalam usaha melahirkan jurutera yang memenuhi kehendak semasa untuk pembangunan seluruhnya.

Selain Mou turut berlangsung SEPKA-ISEED 2016 selama dua hari bermula hari ini bertujuan membincangkan pelbagai cabaran dalam bidang kejurute­raan awam dan teknologi.

Tambahnya, simposium ber­kenaan akan turut menjadi platform untuk mencadagkan tindakan pemulihan yang sesuai untuk pelaksanaan dan penguatkuasaan dasar yang berkaitan kejuruteraan awam.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: