Kekurangan bantuan tidak jejaskan pelajar maahad

ABU BAKAR SIDEKH ZAINUL ABIDIN (depan, tiga dari kanan) menyampaikan

ABU BAKAR SIDEKH ZAINUL ABIDIN (depan, tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada Muhammad Firdaus Mat Razli (depan, tengah) di Permatang Pauh, Pulau Pinang, kelmarin. Utusan/AZMAN ASMAYATIM

PERMATANG PAUH 26 Sept. – Pengurusan Maahad Tahfiz Sirajul Quran, di Jalan Lampam, Seberang Jaya di sini menyangkal dakwaan yang kononnya institusi terbabit berhadapan dengan masalah kekurangan dana serius seperti yang tersebar di laman sosial Facebook dan aplikasi Whats­App sejak awal bulan ini.

Timbalan Mudir maahad tafiz terbabit, Muhammad Firdaus Mat Razli berkata, masalah yang dihadapai institusi berkenaan ketika ini adalah terkawal dan tidak memudaratkan semua 80 pelajar di empat cawangan maahad itu.

Katanya, apa yang berlaku ketika ini sebenarnya adalah sumbangan yang cuba dimohon pihak maahad dalam menampung keperluan pihak pengurusan seperti barang asas seperti beras.

“Secara keseluruhan pihak pengurusan memerlukan peruntukan sekurang-kurangnya RM50,000 sebulan untuk menampung perbelanjaan semua empat cawangan maahad kami.

“Namun dengan yuran RM160 yang dikenakan kepada pelajar, pihak pengurusan ha­nya mampu mengumpul sekitar RM20,000 sebulan secara tetap selain bantuan barang­an keperluan dua kali sebulan me­lalui sumbangan zakat.

“Keadaan ini menyebabkan kekurangan dalam pe­ngurusan operasi maahad namun tidak menjejaskan perkembangan pelajar kami. Saya harap perkara ini tidak disalah anggap mana-mana pihak,” katanya di sini semalam.

Terdahulu Muhammad Firdaus bersama pelajar maahad tafiz terbabit menerima kunjung­an daripada Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Permatang Pauh yang diketuai, Abu Bakar Sidekh Zainul Abidin.

Dalam kunjungan itu, Pemuda UMNO Bahagian Permatang Pauh turut menyampaikan sedikit sumbangan barangan keperluan asas se­perti beras dan makanan ke­ring lain termasuk sumbangan wang tunai.

Muhammad Firdaus dalam pada itu menambah, pihaknya berbesar hati terhadap kesudian Pemuda UMNO menghulur sumbangan bagi menampung keperluan pihaknya.

“Alhamdulillah dan kami berterima kasih kepada Pemuda UMNO atas keprihatinan mereka. Kami juga terbuka sekiranya ada mana-mana pihak lain yang sudi untuk turut sama menghulur sumbangan,” ujarnya.

Sementara itu, Abu Bakar yang ditemui memaklumkan, pihaknya telah membuat ketetapan untuk menjadikan maahad tafiz terbabit sebagai anak angkat mereka.

“Pemuda UMNO Permatang Pauh berbesar hari untuk menjadikan pelajar maahad ini sebagai anak angkat kami.

“Insya-Allah sumbangan tunai secara tetap akan di­salurkan oleh Pemuda UMNO Permatang Pauh bermula bulan depan dan bantuan ini akan berterusan untuk tempoh setahun buat permulaan,” jelasnya.

Selain itu, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan kepada maahad tafiz terbabit boleh menyumbang melalui akaun bank CIMB bernombor 86-0096628-1.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: