Kaji minta polis trafik jaga keselamatan pelajar

TIMBALAN Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan menyampaikan derma siswa kepada pelajar pada Majlis Penyampaian Derma Siswa Syarikat The Holstein Milk Company Sdn Bhd di Sekolah Kebangsaan Tok Sajak, Batu Kurau, hari ini. – Foto Nor Raidah Awang

BATU KURAU: Kementerian Pendidikan mengkaji beberapa cadangan termasuk menggunakan khidmat anggota polis trafik menjaga keselamatan pelajar melintas di kawasan sekolah. Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan, berkata pihaknya menyambut baik cadangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menawarkan khidmat anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bagi tujuan sama pada waktu puncak. Katanya, pihaknya bersedia menerima segala bantuan mana-mana pihak demi memastikan keselamatan pelajar terjamin, terutama membabitkan sekolah yang berdekatan jalan raya. “Kita akan melihat bagaimana cadangan itu dapat dilaksanakan menerusi jawatankuasa khas yang diwujudkan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid,” katanya. Beliau berkata demikian selepas menyampaikan derma siswa pada Majlis Penyampaian Derma Siswa Syarikat The Holstein Milk Company Sdn Bhd kepada 250 pelajar seluruh Perak di Sekolah Kebangsaan Tok Sajak di sini, hari ini. Semalam, Ahmad Zahid meluahkan kekesalannya dengan sikap dan mentaliti masyarakat, termasuk agensi awam atau swasta yang hanya bertindak selepas sesuatu tragedi mengorbankan nyawa. Merujuk kepada insiden kemalangan membabitkan dua murid yang maut dilanggar kenderaan ketika melintas ke sekolah minggu lalu, Timbalan Perdana Menteri mahu sistem amaran awal dibentuk bagi mengelak kejadian itu berulang. Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri menawarkan khidmat anggota RELA untuk mengawal lalu lintas di kawasan sekolah pada waktu puncak bagi mengurangkan risiko murid terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Sumber: Berita Harian