Mahasiswa UUM sertai misi kemanusiaan di Kemboja

MAHASISWA UUM Kampus Kuala Lumpur menyediakan telaga dilengkapi

MAHASISWA UUM Kampus Kuala Lumpur menyediakan telaga dilengkapi pam untuk penduduk sempena program Semarak Kasih Di Kemboja, Sejernih Air Di Kali di Kampung Pevekpong, Kemboja, baru-baru ini. IHSAN UUM

KUBANG PASU 20 Sept. – Penga­laman berkampung selama empat hari di sebuah tempat yang dibelenggu kemiskinan dan krisis kebuluran telah memberi pengalaman berharga kepada 33 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk menghargai kemakmuran negara.

Pada 21 Julai lalu, sekumpulan pelajar Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE) UUM dari Kampus Kuala Lumpur telah menjayakan program khidmat masyarakat yang dinamakan Semarak Kasih Di Kemboja, Sejernih Air Di Kali di Kampung Pevekpong, Kemboja.

Pengarah program, Basiron Baba berkata, kembara itu dijayakan dengan kerjasama Yayasan Salam Malaysia dan telah di­rasmikan Duta Besar Malaysia ke Kemboja, Datuk Seri Hasan Malek.

Katanya, pihaknya telah berjaya mengumpul dana RM50,817 dalam masa sebulan hasil sumbangan badan korporat dan rak­yat Malaysia yang prihatin bagi menjayakan misi kemanusian itu.

“Dana itu digunakan untuk membina 20 telaga, empat panel solar dan satu enjin pam angin bagi kegunaan harian penduduk di Kampung Seve Pokau, Wel Kangaw, Seway, Sip, Kokedau dan Klang Sbek Kandal Province.

“Setiap amal itu bermula de­ngan niat, kami ingin menyalurkan bantuan ke Kemboja bukan sekadar tugasan semata-mata tetapi atas dasar jalinan kasih dan keikhlasan.

“Menerusi program ini, kami juga turut mengadakan aktiviti gotong-royong memasak, suka­neka serta melawat tapak penempatan telaga dan panel solar yang disumbangkan,” katanya.

Menurut Basiron, menyelusuri kawasan desa itu menggamit perasaan hiba dalam kalangan peserta apabila menyaksikan kesusahan masyarakat setempat yang jauh berbeza dengan penduduk negara ini.

“Satu demi satu telaga kami lawati namun tiada satu rumah yang kami temui dapat me­nyaingi rumah penduduk miskin di Malaysia, kami kagum dengan semangat mereka meneruskan hidup walau sesusah mana sekalipun.

“Kami menghulurkan bantuan kewangan di setiap rumah, ke­gembiraan berganda semasa kami menyerahkan sumbangan telaga. Mereka cukup terharu sehinga ada bukan muslim seolah-olah ingin menyembah kami,” ungkap­nya.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: