Lima sekolah peroleh pengiktirafan antarabangsa

ALOR SETAR 19 Sept. – Sebanyak lima buah seko­lah di negara ini memperoleh pengiktirafan IB World School daripada badan pengiktirafan antarabangsa terkemuka dunia, International Baccalaurreate Organization (IBO).

Mahdzir Khalid

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sekolah-sekolah berkenaan ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Tapang Samarahan, Sarawak; Kolej Melayu Kuala Kangsar, Perak; SMK Sultanah Bahiyah di sini; SMK Putrajaya Precint 9, Putrajaya dan SMK Pantai Labuan yang memperoleh pengiktirafan itu sejak Mac lalu.

Katanya, pengiktirafan berke­naan diberikan setelah kementerian dengan kerjasama Agensi Inovasi Malaysia (AIM) merintis Middle Years Programme International Baccalaureate (MYPIB) untuk dilaksanakan di 10 buah sekolah menengah pada 2012 sebagai mo­­del penanda aras dalam pelaksanaan kurikulum dan pentafsiran yang diiktiraf antarabangsa.

“Program MYPIB diperkenalkan dan di­rintis untuk melahirkan aspirasi murid dan dilaksanakan di bawah Inisia­tif Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Program antarabangsa ini mempunyai misi untuk membangunkan generasi muda yang berpengetahuan, berfikiran aras tinggi, bersifat ingin tahu serta berfikiran antarabangsa.

“Ia satu pengiktirafan yang pada suatu ketika dahulu hanya diterima oleh sekolah swasta antarabangsa dan elit. Kini IB sudah diamalkan di lebih 150 negara dan rekod graduan pelajarnya kerap mengatasi purata Pertubuhan Bagi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) dan graduan A Le­vel di universiti,” katanya dalam majlis penyampaian Sijil Pengiktirafan IB World School di SMK Sultanah Bahiyah, di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan, Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr. Khair Mohamad Yusof.

Lima buah sekolah lagi yang dipilih mengikuti program antarabangsa berkenaan ialah Kolej Tunku Kurshiah, Negeri Sembilan; Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra Kota Bharu, Kelantan; SMK Seri Tualang, Temerloh, Pahang; SMK Dato’ Sheikh Ahmad Arau, Perlis dan SMK Agama Sheikh Abd Malek, Kuala Terengganu, Terengganu.

Mahdzir berkata, pencapaian itu agak membanggakan negara kerana kelima-lima buah sekolah berkenaan adalah antara 28 sekolah kerajaan di lima negara Asia Pasifik yang menerima pengiktirafan itu, selain daripada lima buah sekolah di China, Jepun (1), Hong Kong (1) dan Australia (16).

“Sehubungan itu, saya amat yakin dengan persembahan dan kebolehan yang ditunjukkan pelajar tentang rekod pencapaian IB yang memberikan jaminan bahawa sistem ini menawarkan amalan terbaik dan model ini boleh diperluaskan dalam sistem pendidikan kita.

“Program ini mampu melahirkan pelajar yang mempunyai 10 ciri utama termasuk bersifat ingin tahu, berpengetahuan, pemikir, mahir berkomunikasi dan mengambil risiko,” katanya.

Tambah beliau, Kementerian Pendidikan menjangka tiga lagi sekolah akan mendapat pengiktirafan itu menjelang akhir tahun ini, manakala Kolej Tunku Kurshiah dijangka memperolehnya dalam masa terdekat.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: