Kajian tugas isi data oleh guru, diumumkan akhir tahun

MENTERI Pendidika, Datuk Seri Mahdzir Khalid beramah mesra dengan pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Al-Irshad semasa menghadiri majlis anugerah kecemerlangan sekolah itu hari ini.Turut hadir Pengetua SMKA Al-Irshad Abd Razak Osman (kanan). – Foto BERNAMA

KEPALA BATAS: Kementerian Pendidikan akan mengumumkan keputusan kajian berhubung spesifikasi tugas pengisian data secara dalam talian oleh guru, selewat-lewatnya hujung tahun ini. Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata ketika ini pihaknya masih menjalankan kajian berhubung perkara itu dalam usaha mengurangkan beban tugas guru. Katanya, satu mesyuarat penyelarasan sistem pengisian data dalam talian akan diadakan Khamis ini, bagi membincangkan secara terperinci isu berkenaan. “Ketika ini, kita sedang analisis apakah laporan dan data yang patut dihantar atau tidak patut dihantar secara dalam talian oleh guru. “Kita sedar beban tugas guru ketika ini. Selain tugas hakiki, mereka terpaksa menjalankan tugas perkeranian dan ini yang akan kita tengok balik,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Anugerah Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Al Irshad, di sini, hari ini. Mahdzir berkata, antara perkara yang diperhalusi ialah keseluruhan data yang diperlukan di peringkat sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) yang perlu diisi guru secara dalam talian. “Menerusi kajian ini, jumlah pelaporan data dapat dikurangkan, sekali gus meringankan beban tugas guru,” katanya.

Sumber: Berita Harian