Kajian beban tugas guru diumum hujung tahun

MAHDZIR KHALID beramah mesra dengan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan

MAHDZIR KHALID beramah mesra dengan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Al Irshad semasa menghadiri majlis anugerah kecemerlangan sekolah itu di Tasek Gelugor, Pulau Pinang, semalam. Turut hadir Pengetua SMKA Al Irshad, Abd. Razak Osman (kanan). BERNAMA

KEPALA BATAS 20 Sept. – Keputusan kajian beban tugas guru membabitkan kerja pekeranian yang terpaksa dilakukan secara dalam talian dijangka diumumkan hujung tahun ini.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kajian berkenaan sedang dijalankan ketika ini bagi mengurangkan beban tugas guru yang dibangkitkan sejak sekian lama.

Menurutnya, mesyuarat penyelarasan sistem pengisian data akan diadakan Khamis ini di Putrajaya untuk membincangkan perkara berkenaan dengan lebih mendalam.

“Kerajaan memahami beban tugas yang dipukul oleh guru kerana selain mengajar, mereka terpaksa melakukan tugas pekeranian dan aspek inilah yang sedang dikaji secara terperinci,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Anugerah Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Al Irshad di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Penga­rah Pelajaran, Tan Sri Dr. Khair Mohamad Yusof dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal, Datuk Mohd. Roslan Saidin.

Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, antara perkara yang diberi tumpuan dalam kajian berke­naan ialah data yang diperlukan di peringkat sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) yang perlu diisi guru secara dalam talian.

“Menerusi kajian ini, kita berharap data yang tidak diperlukan tidak perlu lagi diisi oleh guru bagi mengurangkan tugas mereka,” katanya.

Sementara itu Mahdzir berkata, pihaknya tidak bercadang merombak buku teks Sejarah susulan pengesahan pakar arkeologi dunia Tapak Arkeologi Sungai Batu di Kedah wujud lebih awal berban­ding Tapak Angkor Wat, Kemboja dan Candi Borubodur, Indonesia yang kini diiktiraf dalam silibus mata pelajaran berkenaan.

Katanya, sukatan yang ada ketika ini mencukupi, namun pihaknya bersedia menjadikan pengiktirafan itu sebagai tambahan tajuk kepada subjek Sejarah yang sedang diajar ketika ini.

“Ini bagi menghargai kajian yang telah lama dijalankan di kawasan berkenaan,” katanya.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: