Jangan kurangkan bajet universiti awam

Mohd. Idrus Mohd. Masirin (tiga dari kanan) bersalam dengan Mohd. Shaman Jaes dalam majlis Perasmian

Mohd. Idrus Mohd. Masirin (tiga dari kanan) bersalam dengan Mohd. Shaman Jaes dalam majlis Perasmian Konvensyen Akademik Kebangsaan Universiti Awam Malaysia 2016 di Akademi Kepemimpinan Pendidikan Tinggi, Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan, semalam. – UTUSAN/Abd. Razak Aid

SEREMBAN 20 Sept. – Kerajaan digesa tidak mengurangkan ter­lalu banyak bajet universiti awam (UA) bagi menjamin kualiti perkhid­matan institusi tersebut.

Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia, Prof. Datuk Dr. Mohd. Idrus Mohd. Masirin berkata, langkah pengurangan itu dikhua­tiri an menjejaskan penyediaan kemudahan terutamanya­ bagi universiti yang mempu­nyai hospital dan makmal.

“Kita berharap dalam keadaan apa sekalipun saluran kewangan atau perbelanjaan universiti tidak dipotong terlalu banyak. Kita tidak kata bahawa kuali­ti universiti akan menurun (disebabkan langkah itu), kerana pensyarah tetap akan menjalankan tugas seperti biasa.

“Bagaimanapun, kita bimbang ada perkara yang tidak dapat dilakukan terutamanya di universiti menyediakan perkhidmatan perubatan,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penutupan Konvensyen Akademik Kebangsaan Universiti Awam Malaysia 2016 di Nilai, hari ini.

Majlis tersebut disem­purnakan Timbalan Presiden II, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CEUPACS), Mohd. Shaman Jaes.

Sebanyak enam kertas kerja dibentangkan dalam konvensyen yang diadakan buat julung kali itu dan dihadi­ri pemimpin persatuan UA dari 20 buah universiti tempatan.

Mengulas lanjut, Mohd. Idrus berkata, pada masa ini pihak UA terpaksa mencari alternatif bagi menjana sumber kewangan ma­sing-masing.

“Kalau pihak universiti naikkan yuran, akan menjejaskan ibu bapa pelajar dan kalau naikkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), ia akan membebankan pula para pelajar,” katanya.

– Sumber : Utusan online

%d bloggers like this: