Graduan perlu peka pelbagai isu

CANSELOR Universiti Pendidikan Sultan Idirs (UPSI), Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan Pendidikan kepada Tan Sri Alimuddin Mohd Dom (kiri) di Majlis Istiadat Konvokesyen ke 18 UPSI di Dewan Besar Kampus Sultan Azlan Shah. – Foto Muhaizan Yahya

TANJUNG MALIM: Graduan diingatkan supaya sentiasa peka dengan pelbagai isu semasa dalam mengharungi cabaran selepas memasuki dunia kerjaya. Raja Permaisuri Perak yang juga Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tuanku Zara Salim, bertitah cabaran dalam dunia kerjaya adalah medan sebenar yang akan menguji ketelusan, keimanan dan keikhlasan seseorang. “Tatkala berdepan dengan cabaran material, pangkat dan kedudukan, kita hendaklah kembali kepada jati diri kita sebagai manusia beriman dan berintegeriti, kembali kepada tangungjawab ilmu yang pernah kita terima di universiti. “Kita dikejutkan dengan pelbagai isu seperti keruntuhan moral, rasuah, pecah amanah, penyelewengan dan isu-isu yang berkait dengan soal jati diri, intergriti dan akauntabiliti. “Kerana itu, Beta ingin berpesan kepada bakal graduan semua agar sentiasa berwaspada dengan cabaran yang bakal mendatang. Perkukuhkan jati diri kita sebagai manusia cerdik pandai yang boleh memberi kebaikan kepada orang lain, berintegriti, berakhlak mulia, berbudaya tinggi dan beramal soleh,” titahnya pada Majlis Istiadat Konvokesyen Ke-18, Sidang Pertama, di Dewan Besar, Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS) UPSI di Proton City di sini, sebentar tadi. Pada sesi pertama pada pagi ini, Baginda menyampikan 52 Ijazah Doktor Falsafah dan 589 Ijazah Sarjana. Baginda juga menyampaikan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan Pendidikan kepada Bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom. Pemberita sambilan BH, Ghazali Din juga menerima Ijazah Doktor Falsafah Pendidikan Kesusteraan Melayu. Yang turut hadir, Orang Besar Jajahan Mualim, Datuk Dr Safry Kamal Ahmad, Isteri kepada Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Toh Puan Rasiah Mohd Nor dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerajaan Negeri Perak, Datuk Rusnah Kassim. Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Zakaria Kasa, berkata UPSI kini mempunyai seramai 23, 037 pelajar yang sedang melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang, iaitu 16,757 di peringkat prasiswazah dan 6,280 pelajar pada peringkat pascasiswazah. Beliau berkata, pada majlis konvokesyen kali ini, seramai 9,304 graduan akan dianugerahkan ijazah dan diploma dalam bidang masing-masing.

Sumber: Berita Harian